JPJ korup, negara lingkup

oleh Mohamad Hanif|
April tahun lalu, negara dikejutkan dengan berita penangkapan 46 orang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendedahkan salah laku yang tersembunyi dari pandangan umum selama ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Susulan berita menggemparkan ini, ia turut mengakibatkan pegawai dari negeri lain meminta syarikat logistik daripada memberikan bayaran, bimbang termasuk dalam perangkap SPRM.

Setelah hampir setahun berlalu, berita tersebut nampaknya tidak menimbulkan kesan kepada pegawai yang dahagakan wang ini.

Menurut satu temubual yang dibuat oleh Malaysiakini mendedahkan pegawai-pegawai ini mula menjalankan kembali aktiviti tersebut pada Julai, tahun lalu. 

Ah Ching (bukan nama sebenar) dari sebuah syarikat logistik memberitahu, setelah pembayaran terhenti selama dua bulan (Mei dan Jun), mereka mahukan pembayaran berganda untuk bulan berikutnya (Julai). 

 


"Bayar, atau lori kami akan menghadapi masalah," ujar beliau lagi.

Menurut Ah Ching lagi, wang tersebut biasa bertujuan untuk mengelakkan tindakan daripada pegawai JPJ, kebiasaannya melibatkan kes terlebih berat atau mengelak daripada operasi sekatan jalan yang kerap diadakan.

Dalam satu penemuan, rekod transaksi untuk sebuah firma pada bulan September sahaja sudah mencatatkan jumlah RM21,300 melibatkan pegawai JPJ di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, di mana setiap pembayaran melibatkan jumlah antara RM300 sehingga RM6,000.

Tambah Ah Ching lagi, kebanyakan akaun penerima merupakan sanak saudara, kawan atau ejen yang dilantik bagi mengelakkan nama mereka dikesan pihak berkuasa. 

Transaksi syarikat Ah Ching untuk tahun 2018 mencatatkan jumlah wang sehingga RM235,600 yang perlu dibayar kepada pegawai JPJ, atau purata RM19,633 untuk satu bulan. 

Manakala untuk sembilan bulan pertama tahun 2019, sebanyak RM116,000 wang dibelanjakan untuk memenuhi perut pegawai JPJ, atau purata RM16,571 sebulan. 

Ah Ching kini menderita tekanan akibat ketakutan membawa duit tunai dalam jumlah yang besar setiap hari. 

Penyelia Ah Ching, Onn (bukan nama sebenar) kini bersedia untuk membawa segala bukti transaksi untuk diserahkan kepada pihak yang lebih berkuasa. 
 


Dalam satu kes lain, pihak yang cuba untuk mematuhi peraturan tidak dapat lari daripada 'gangguan' pegawai JPJ yang dahagakan wang ini. 

Ah Siong (bukan nama sebenar) memiliki 200 buah lori dan beliau cuba untuk memastikan berat had muatan yang dibawa tidak akan melebihi had maksimum 51 tan yang dibenarkan. 

Namun, di dalam sebuah sistem yang serba korup, syarikat beliau kerap diganggu dan dituduh membawa lori melebihi muatan, dan disuruh untuk memasuki pusat timbangan untuk diperiksa. 

Dalam satu insiden, Ah Siong mendedahkan pegawai JPJ tetap mahukan 10 lori beliau diperiksa di pusat timbangan, mengakibatkan syarikatnya terlepas tarikh tamat penghantaran barang dan kerugian bagi pihaknya. 
 

Namun, adakah semudah itu untuk menghentikan kegiatan ini?

 


Menurut satu sumber yang rapat dengan isu ini memberitahu Malaysiakini, oleh kerana proses untuk memecat seseorang pegawai adalah sangat rumit, mereka yang disabitkan kesalahan dan dihadapkan ke mahkamah biasanya akan ditukarkan ke jabatan lain atau tugas yang lebih kecil.

Ujar sumber itu lagi, tempoh perkhidmatan pegawai penguatkuasa JPJ dan pegawai teknikal biasanya dirujuk sebagai perkhidmatan tertutup, di mana mereka hanya boleh ditukarkan dalam jabatan yang sama dan bukan ke bahagian perkhidmatan yang lain.

Walaupun ditukarkan, mereka masih lagi sebahagian daripada keluarga besar JPJ dan mampu mengakibatkan kesan yang lebih teruk terhadap operasi yang dilaksanakan oleh JPJ. 

Ketua Pengarah JPJ dan Menteri Pengangkutan masih belum memberikan respon terhadap isu yang dibangkitkan. 
 

Tindakan yang tegas perlu dilaksanakan.


Selain daripada membersihkan JPJ dari dalam, amalan perniagaan yang tidak baik juga turut menyumbang kepada kegiatan yang tidak bermoral di dalam pengangkutan komersil.

Menurut Foong Choy Chye, konsultan keselamatan jalan raya yang berpengalaman selama 35 tahun dan pernah terbabit di dalam pasukan penyiasat tragedi bas di Genting Highlands tahun 2013 berkata, syarikat logistik gemar untuk membawa beban yang lebih untuk menjimatkan kos pengangkutan.

Syarikat penyedia pengangkutan pula boleh menawarkan diskaun yang lebih baik ke atas harga per tan kepada pengirim bagi mewujudkan persaingan harga yang sihat.

Namun, suasana persaingan yang agresif ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk terhadap keselamatan dan dari segi undang-undang.

Dalam hal ini, Foong mencadangkan kompaun turut dikenakan kepada syarikat pengirim selain saman yang dikenakan ke atas pemandu dan syarikat logistik atas kesalahan terlebih muatan. 

"Jika syarikat pengirim disaman, mereka akan menasihatkan syarikat logistik supaya tidak melebihi muatan yang dibenarkan," tambah beliau.

 


Mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, sekiranya sesebuah lori didapati melebihi sedikit had muatan yang dibenarkan, pemandu dan syarikat logistik akan didenda maksimum RM2,000.

Namun, jika lori tersebut didapati membawa terlalu banyak muatan yang tidak dibenarkan, pihak JPJ akan merujuk kepada Seksyen 57 dan 58 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membenarkan pesalah dibawah ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman bermula RM1,000 sehingga RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Dua undang-undang yang berbeza 'membenarkan' pegawai penguatkuasa JPJ menjalankan tugas, namun ditangan sesetengah pihak, undang-undang tersebut boleh disalahgunakan dengan mudah. 

Pegawai yang korup akan kerap menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang membenarkan hukuman yang lebih tegas untuk menakut-nakutkan syarikat logistik, walaupun atas kesalahan yang lebih kecil.

Laporan asal: Malaysiakini