JPJ kenal pasti pemandu, pemilik bas bergerak mengundur di lebuh raya

oleh Penyumbang Rencana|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah mengenal pasti dan akan mengambil tindakan terhadap pemilik dan pemandu bas dalam rakaman video tular melalui laman sosial yang didapati bergerak secara mengundur di lebuh raya, dipercayai kerana terlepas simpang susur keluar ke Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.

Pengarahnya Muhammad Firdaus Sharif berkata JPJ negeri telah menggerakkan pasukan penyiasat daripada Unit Pengurusan Aduan dan Siasatan serta Unit Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) bagi menyiasat aduan itu dan mendapatkan keterangan daripada pihak syarikat.

"Notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berkenaan bagi mengenal pasti butiran pemandu seterusnya melengkapkan siasatan kes itu.

"JPJ juga telah mendapatkan maklumat pihak yang merakam video itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut dan mengesan pemilik serta pemandu bas itu pada Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, dalam rakaman berdurasi 43 saat yang tular sejak semalam menerusi media sosial Facebook akaun Melaka itu memaparkan bas berkenaan mengundur ke belakang sejauh kira-kira satu kilometer.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata kegagalan mematuhi notis panggilan temu siasat di bawah Seksyen 114 APJ 1987 itu akan menyebabkan pemilik syarikat berhadapan tindakan kompaun dan senarai hitam akan diambil sekiranya gagal membayar kompaun.

Katanya sekiranya didapati bersalah, pemandu berkenaan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) APJ 1987, Kaedah 15(d) Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam 1959 dan Kaedah 53 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"JPJ Melaka memandang serius perkara ini dan menasihati semua pemandu kenderaan persendirian, perkhidmatan awam dan perdagangan supaya mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

 

Bernama