"JPJ memandang serius isu ini terutamanya warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah kerana mereka jelas tidak mengetahui peraturan jalan raya dan boleh mendatangkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain.
"JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya," katanya pada sidang media selepas operasi bersepadu jabatan berkenaan di Bangsar di sini malam tadi.
Lokman berkata dalam operasi selama empat jam yang berakhir tengah malam Ahad, sebanyak 1,459 kenderaan diperiksa dengan 854 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya memandu tanpa lesen (327), lesen kenderaan motor tamat tempoh (143), insurans tamat tempoh (123) dan nombor pendaftaran (80).
Selain itu, 98 saman dikeluarkan bagi kesalahan cermin gelap, kesalahan teknikal (36), ekzos (18), penggunaan lampu HID (empat) dan lain-lain kesalahan (25), katanya.
Beliau berkata dalam operasi yang turut disertai Jabatan Imigresen itu, seramai 19 warga asing ditahan melibatkan 17 lelaki dan dua wanita atas pelbagai kesalahan imigresen.