JPJ keluarkan lebih 14,000 notis kesalahan dalam lapan hari

oleh Hamimah Hamid|
LEBIH 14,000 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) menerus Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023.

Sepanjang operasi dari 18 hingga 25 April itu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut menyita 500 motosikal.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, berkata notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

 

Katanya, enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu membabitkan 4,583 notis, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).

 

"Menurut kajian, penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan 25 peratus kepada pengguna motosikal.

 

"Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal," katanya. 

 

Terdahulu, beliau hadir pada Op Khas Motosikal bagi Perak sempena Op Bersepadu Aidilfitri 2023 di sini.

 

Lokman berkata, bagi Op Khas Motosikal Perak dari 18 hingga 25 April, sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah, sejumlah 1,313 motosikal diambil tindakan di bawah Akta 333.

 

Sementara itu, Lokman berkata dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

 

Katanya, ia berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60 peratus.

 

Justeru, katanya, melalui Op Bersepadu peringkat kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.

 

"Dipohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya," katanya.