JPJ keluar lebih 58,000 saman, sita 683 kenderaan dalam operasi khas Hari Raya 2025

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 58,596 notis saman serta mengambil tindakan terhadap 33,452 kenderaan sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2025 yang dijalankan di seluruh negara bermula 24 Mac hingga 8 April lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sepanjang tempoh operasi itu, sebanyak 323,876 kenderaan diperiksa, manakala 683 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
PERODUA MREC Banner Campaign May 2025

Katanya, JPJ turut menerima 6,687 aduan berkaitan kesalahan jalan raya menerusi aplikasi MyJPJ sepanjang Ops HRA 2025 dilaksana.

“Tiga kesalahan paling kerap dikesan sepanjang Ops HRA ialah memotong barisan (1,766), memandu di lorong kecemasan (1,625) dan gagal mematuhi lampu isyarat merah (843).

“Statistik ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya masih perlu dipertingkatkan, terutama ketika musim perayaan yang menyaksikan pertambahan kenderaan di jalan raya,” katanya pada Selasa.

Aedy berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan sepanjang musim perayaan mencatatkan peningkatan sebanyak 11 peratus iaitu 9,859 kes berbanding 8,862 kes pada tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kemalangan maut menurun sebanyak 28.5 peratus dengan hanya 85 kes tahun ini berbanding 119 kes pada musim perayaan tahun lalu.

“JPJ komited mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, khususnya membabitkan kenderaan berat, termasuk tindakan tegas terhadap kesalahan membawa lebih muatan.

“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan berat yang gagal mematuhi undang-undang. Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat (JPJ Putrajaya) akan memantau secara berkala menerusi JPJ negeri,” katanya.

Mengulas cabaran operasi, Aedy berkata, pihaknya berdepan pelbagai halangan termasuk gangguan kumpulan tonto, namun yakin anggota penguat kuasa berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk PDRM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta rakan media atas sokongan menjayakan Ops HRA 2025.

“Ops HRA 2025 membuktikan bahawa kejayaan penguatkuasaan jalan raya memerlukan kerjasama erat semua agensi dan rakan strategik,” katanya.

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, tindakan tiga lelaki berusia antara 52 hingga 54 tahun itu terbongkar melalui…
Berita Domestik
Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga, pihaknya turut mengesan sebanyak 16,142 kes memandu melebihi…
Informasi
Selain itu, beliau berkata, kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang…