JPJ buka bidaan nombor plat istimewa FFF

oleh Penyumbang Rencana|
Pengumpul koleksi Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) kini berpeluang memiliki siri FFF dengan bidaan dibuka pada Sabtu.

NPI siri FFF dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan (MOT), Anthony Loke di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di sini, bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-78.

"Bidaan akan diadakan selama lima hari secara dalam talian di Sistem JPJeBid bermula hari ini dan berakhir 15 Mei 2024 jam 10 malam.

"Keputusan penawaran pula akan diumumkan pada 16 Mei ini," katanya berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-78, di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) Ayer Molek pada Sabtu.

Sementara itu, pada sidang medianya Anthony berkata, siri FFF adakan kesinambungan daripada siri 'F' yang diperkenalkan setiap tahun pada sambutan ulang tahun JPJ.

"Kita pernah keluarkan siri F, FA, FB dan FC, dan tahun lalu FF. Kita berpendapat nombor abjad sama ini amat menarik minat orang ramai, justeri tahun ini kita perkenalkan siri FFF.

"Tahun lalu, siri Gold, memberi pulangan sebanyak RM17 juta dan kali ini kita harap kutipan bidaan boleh mencecah RM20 juta," katanya.

Beliau berkata, bidaan yang dibuat bertujuan menjana dana tambahan bagi tujuan inisiatif rakyat seperti topi keledar percuma, caruman 'top-up' PERKESO untuk 40,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah, tajaan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan B2 untuk golongan B40.

"Pertukaran topi keledar percuma ini amat diminati dan mendapat sambutan baik dalam setiap program yang kita laksanakan. Dengan kos RM50 kita mahu orang ramai menggunakan topi keledar yang selamat," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, MOT merancang pembinaan APJM Wilayah Borneo bagi kemudahan melatih pegawai JPJ di Sabah dan Sarawak.

Ketika ini APJM hanya beroperasi di Semenanjung Malaysia iaitu Kampus Induk di Negeri Melaka, Wilayah Selatan di Johor, Wilayah Timur di Kelantan dan Wilayah Utara di Langkawi, Kedah.

"Memang ada perancangan untuk bina akademi serupa di Borneo untuk Sabah dan Sarawak, memandangkan anggota JPJ di sana terpaksa datang ke Semenanjung untuk menjalani latihan.

"Jadi, lebih baik untuk jangka masa panjang ada AJPJM di Borneo yang mana boleh memperkasa latihan serta kompetensi seramai 786 pegawai JPJ Sabah dan 739 pegawai JPJ Sarawak.

"Ini dalam peringkat perancangan lagi, belum dapat kelulusan bajet daripada Kementerian Kewangan dan kita masukkan permohonan untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (Rolling Plan 5)," katanya.

 

Berita Harian