"Saya berharap pihak polis menyelesaikan siasatan kes itu secepat mungkin, dan pemandu terbabit dihadapkan ke mahkamah dengan segera.
"Saya yakin pihak Peguam Negara akan mengarahkan pendakwaan tegas yang setimpal dengan kesalahan pemandu itu," katanya dalam hantaran melalui Facebook selepas menziarahi keluarga mangsa di Hospital Segamat, tengah hari Sabtu.
Setakat ini, Loke berkata, dua mangsa masih menerima rawatan dengan seorang kritikal dan ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).
Katanya, kejadian berkenaan adalah satu lagi kes kemalangan amat menyedihkan yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, kerajaan sedar bahawa sebahagian besar pemandu lori bersikap profesional dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh disiplin, namun masih ada segelintir terbabit penyalahgunaan dadah.
Sehubungan itu, Loke mengingatkan semua pemandu agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Terdahulu, Loke berjumpa ibu bapa kedua-dua mangsa berkenaan serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu kos rawatan, sekali gus meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.
Dalam insiden sekitar jam 3.45 petang kelmarin, tiga sekeluarga termasuk sepasang suami isteri maut, manakala dua lagi cedera apabila sebuah treler melanggar bahagian belakang van dinaiki mereka di persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu.
Susulan itu, pemandu treler berusia 28 tahun direman empat hari bermula semalam, bagi membantu siasatan.