"Dalam tempoh itu, kesesakan aliran trafik dijangka tertumpu di lebuh raya utama dan jalan persekutuan.
"Selepas musim perayaan, kita menjangkakan kesesakan teruk berlaku pada 5 dan 6 April apabila perantau mula kembali ke ibu kota dan negeri-negeri lain," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, JPJ akan melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang tempoh kritikal itu.
Jelasnya, antara langkah diambil termasuk rondaan berterusan (POBC) selama 16 jam sehari yang akan dipanjangkan kepada 24 jam pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April, selaras dengan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan.
"Anggota JPJ juga ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memantau keadaan trafik, membantu penyuraian kenderaan, serta memberi bantuan kecemasan sekiranya diperlukan.
"Pemantauan secara terbuka dan tersembunyi (overt & covert) juga akan dilakukan di kawasan berisiko tinggi atau 'blackspot' bagi mengesan pemandu yang melakukan kesalahan seperti memandu secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati perantau agar merancang perjalanan dengan baik dan sentiasa mengutamakan keselamatan.
- selamat pulang ke kampung halaman, pandu selamat, nyawa selamat. Semoga perjalanan kita sentiasa dilindungi -