Menurut beliau, sebanyak 7,473 notis kesalahan dikeluarkan daripada keseluruhan 29,760 kenderaan yang diperiksa sepanjang operasi yang dijalankan di seluruh negara itu.
“Sembilan kesalahan utama yang dikesan banyak dilakukan pengguna jalan raya adalah tidak patuh had laju; tidak patuh lampu isyarat; memotong garisan berkembar; memandu di lorong kecemasan; memotong barisan; menggunakan telefon bimbit; tidak memakai tali pinggang atau topi keledar; kenderaan berat memandu di lorong laju serta lebih muatan.
“Sehubungan itu, kita mahu mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi yang dijalankan di Kawasan Rehat dan Rawat Pandan, pada Selasa.
Tambah Lokman, Operasi Khas HRA 2024 itu akan dilaksanakan pihaknya selama 20 hari bermula dari Isnin, 1 April hingga 20 April tahun ini.
“Operasi khas tersebut melibatkan lima operasi iaitu Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam; Ops Khas Kenderaan Barangan; Ops Khas Motosikal; Ops Khas Sembilan Kesalahan Utama dan Ops Khas Teknikal.
“Dalam masa sama, kita juga akan melaksanakan pemeriksaan di 54 depoh dan 28 terminal bas utama seluruh negara bagi memastikan kelancaran dan kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata setakat hari ini, sebanyak 4,976 pemeriksaan telah dilakukan dan 1,010 notis pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah dikeluarkan di Johor.
"Kita dapati banyak juga kenderaan tidak diselengara dengan baik terutamanya kenderaan barangan yang tayar mereka tidak mengikut spesifikasi, tayar botak dan juga terdapat kesalahan melibatkan ubah suai kenderaan," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai yang pulang beraya agar mempersiapkan diri dari segi kesihatan, sikap memandu, keadaan memastikan kenderaan dalam keadaan baik selain mematuhi peraturan trafik dan had laju.