Langkah ini hadir susulan keputusan Adrian Newey untuk berundur daripada tugas pengurusan hanya beberapa bulan selepas dilantik, bagi memberi fokus sepenuhnya kepada aspek teknikal pasukan.

Aston Martin Bergelut Teruk Musim 2026
Keputusan drastik ini bukan berlaku tanpa sebab. Aston Martin ketika ini berdepan permulaan musim 2026 yang boleh dianggap sebagai bencana.
Jentera AMR26 yang direka oleh Newey gagal menunjukkan prestasi sebenar akibat masalah serius pada unit kuasa Honda. Getaran berlebihan bukan sahaja menjejaskan kebolehpercayaan bateri, malah turut memberi kesan kepada kesihatan pemandu, sehingga kereta gagal menamatkan perlumbaan.
Situasi ini jelas jauh daripada sasaran pemilik pasukan, Lawrence Stroll, yang telah melabur besar untuk menjadikan Aston Martin pencabar kejuaraan. Dengan fasiliti serba moden di Silverstone dan barisan jurutera elit seperti Andy Cowell, tekanan untuk bangkit semula kini semakin memuncak.

Wheatley Datang Dengan Pengalaman Besar
Jonathan Wheatley bukan nama asing dalam paddock F1. Beliau memulakan karier sebagai mekanik sebelum naik ke posisi penting di Benetton, Renault dan Red Bull.

Di Red Bull, beliau memainkan peranan besar sebagai sporting director dalam era dominasi pasukan itu. Selepas itu, beliau menyertai projek Sauber yang kemudiannya beralih kepada Audi, dan dilantik sebagai team principal.
Kini di Aston Martin, misi utama Wheatley jelas memulihkan prestasi pasukan yang sedang merudum dan memastikan mereka kembali kompetitif, terutama dari sudut pembangunan enjin yang lebih berkuasa dan boleh dipercayai.
Audi Susun Semula Struktur Kepimpinan
Susulan pemergian Wheatley, Audi mengesahkan bahawa Mattia Binotto akan terus mengetuai projek F1 mereka, sambil mengambil tanggungjawab tambahan sebagai team principal.

Audi turut menyatakan bahawa struktur organisasi pasukan masih dalam proses penyesuaian dan akan diumumkan secara penuh pada masa akan datang.
Walaupun kehilangan Wheatley, Audi menegaskan komitmen mereka kekal kukuh dalam Formula 1, dengan sasaran jangka panjang untuk menjadi pencabar kejuaraan menjelang tahun 2030.
Perubahan ini jelas menandakan fasa baharu bagi kedua-dua pasukan Aston Martin yang sedang bergelut mencari arah, dan Audi yang masih membina asas untuk masa depan dalam F1.