Menurut laporan, model pertama jenama Freelander ialah SUV besar sekitar 5.1 meter dan akan ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa iaitu BEV (battery electric vehicle) serta EREV (extended-range electric vehicle).
JV Chery–JLR Di China, Kilang CJLR Dijangka Henti Pengeluaran Menjelang Hujung 2026

Chery dan Jaguar Land Rover (JLR) menubuhkan joint venture di China pada 2012 sebelum menyiapkan pembinaan kilang CJLR di Suzhou, Jiangsu pada 2014. Namun, kemudahan ini dilaporkan akan menghentikan pengeluaran semua model menjelang akhir 2026, termasuk Range Rover Evoque, Land Rover Discovery Sport, Jaguar XF, Jaguar XEL dan Jaguar E-Pace.
Dalam masa sama, kedua-dua pihak dilihat menyusun semula hala tuju kerjasama mereka, dengan Freelander menjadi langkah baharu untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran yang semakin sengit, khususnya dalam segmen EV.
Projek Freelander Pernah Diumum 2024, Kini Sah Akan Ke Pasaran Luar
Projek Freelander diumumkan secara rasmi pada Jun 2024, dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan kedudukan JV ini dalam pasaran China yang kompetitif. Tahun lalu, model Freelander juga pernah dikesan menjalani ujian jalan raya di China.
Kini, Chery mengesahkan hala tuju Freelander tidak lagi terhad kepada China kerana ia akan memasuki pasaran luar dan Timur Tengah dipilih sebagai lokasi pelancaran pertama pada 2026.

Persiapan Awal Bermula, Tender Identiti Jenama & Pemasaran
Chery Holding Group turut mengeluarkan jemputan tender terbuka untuk membangunkan visual identity manual Freelander. Skopnya merangkumi aset visual teras, reka bentuk ikon, infografik serta ilustrasi.
Selain itu, satu lagi tender untuk projek perolehan pemasaran juga diumumkan, menunjukkan mereka mahu membina imej jenama yang lebih premium melalui kempen pra-pelancaran yang tersusun.
Ada juga jangkaan Freelander boleh muncul dalam acara besar seperti Beijing Auto Show sekitar April 2026, memandangkan ia antara pameran automotif tahunan paling besar di China.
SUV Pertama Freelander, Rekaan Kotak, 3 Baris Tempat Duduk, Platform E0X
SUV pertama Freelander dikatakan menampilkan gaya off-road dengan rekaan bentuk kotak, panjang sekitar 5.1 meter, dan dibina di atas seni bina modular E0X yang dibangunkan Chery.
Platform ini turut digunakan oleh beberapa model lain seperti Exeed Exlantix ET, Exeed Exlantix ES, Luxeed S7 dan Luxeed R7. Untuk Freelander, susun atur kabin dilapor menawarkan tiga baris tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2.
Dari segi teknologi, model ini dikatakan boleh hadir dengan BEV dan EREV, dengan output kuasa puncak sehingga 413 kW (553 hp), selain kemungkinan ciri seperti air suspension serta sistem bantuan pemandu L2 ADAS.
Sumber: CarNewsChina