JKR - Projek LTU tidak boleh ditangguh, pengguna disaran guna laluan Lojing

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3B dan 3C di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis tidak boleh ditangguh memandangkan kerja-kerja sudah dijalankan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Mohd Suhaili Ismail, berkata sekiranya laluan itu dibuka, ia tetap tidak boleh dilalui kenderaan memandangkan pemasangan cerucuk sudah dilakukan.

"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berhubung perkara ini. Ada cadangan daripada pihak polis supaya menangguhkan sementara untuk mengelak kesesakan di Gua Musang menjelang Aidilfitri.

"Namun saya sudah menjelaskan keadaan jalan di lokasi projek di mana pemasangan cerucuk sudah dilakukan dan keadaan jalan tidak memungkinkan kita membuka jalan.

"Justeru, menerusi perbincangan itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membuka jalan atau menangguh projek kerana ia boleh membahayakan pengguna," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Media pada Selasa melaporkan, polis Kelantan mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan beberapa pihak dalam usaha menghentikan kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi Projek LTU di jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis menjelang Aidilfitri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia dibincang bersama beberapa pihak berkaitan termasuk JKR dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut Mohd Suhaili berkata, untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas sempena Aidilfitri ini, pihaknya akan menjadikan laluan alternatif kepada satu hala selain menutup laluan simpang di jalan alternatif.

"Kita dapati laluan alternatif berlaku kesesakan memandangkan banyak simpang terutama menghala ke bandar Gua Musang. Justeru kita akan tutup laluan simpang dan menjadikannya laluan sehala.

"Dengan cara itu ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesesakan trafik pada Aidilfitri ini. Laluan simpang akan ditutup selama dua minggu iaitu seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas Aidilfitri," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan perantau supaya merancang perjalanan dengan mengambil alternatif lain.

"Bagi perantau dari Lembah Klang boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) atau dari Perak boleh menggunakan laluan Lojing," katanya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  "Kita percaya tindakan mengalihkan penghadang yang dipasang itu adalah untuk individu terbabit…
Berita Domestik
Menurut laporan Utusan Malaysia yang turut meninjau di lokasi tersebut mendapati jalan menghala ke…