Kenyataan itu memaklumkan JKR akan terus memantau keadaan jalan di kawasan terlibat secara berkala bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
"Aspek keselamatan sementara seperti delineator string juga telah tersedia dipasang di lokasi semasa kejadian kemalangan berlaku," menurut kenyataan itu.
Menurut JKR, tiada sebarang kerosakan atau pothole dikesan di kawasan kemalangan berdasarkan rondaan pemeriksaan rutin pihak konsesi di laluan itu pada Isnin lepas.
"JKR sentiasa memastikan penyenggaraan rutin dilaksana oleh pihak konsesi berdasarkan obligasi kontrak yang meliputi penyenggaraan segera, dengan pihak konsesi telah melaksanakan kerja-kerja rutin penyenggaraan berdasarkan peruntukan kontrak konsesi," katanya.
JKR turut menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada waris mangsa.
Kemalangan itu menyaksikan seorang lelaki maut manakala lima ahli keluarganya cedera selepas Perodua Aruz yang mereka naiki terbabas dan memasuki gaung sedalam tiga meter di tepi laluan berkenaan.