JIPS siasat anggota pengiring didakwa pukul pemandu e-hailing OKU

oleh Penyumbang Rencana|
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat anggota pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing Orang Kurang Upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di ibu negara bulan lepas.

Pengarah JIPS, Datuk Seri Azri Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan dilakukan itu adalah dari aspek tatatertib melibatkan warga PDRM.

Beliau berkata, mangsa telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini pada jam 11 pagi bagi membantu siasatan tatatertib dengan diiringi peguam dan jurubahasa.

"JIPS akan meneliti kes ini dari sudut prosedur operasi standard (SOP) untuk mengesan sebarang pelanggaran atau salah laku semasa pelaksanaan penugasan.

"Siasatan masih di peringkat awal dan JIPS akan memanggil saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Menurut Azri, pihak JIPS turut menegaskan akan menjalankan siasatan secara telus dan tanpa kompromi.

Terdahulu, pada 28 Mei lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan mangsa pada 1 tengah hari mendakwa diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.

Mangsa kemudian membuat laporan kedua pada 9.59 malam hari yang sama menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik dan tidak mahu memanjangkan kes.

Berdasarkan laporan media, mangsa membuat laporan selepas dipukul ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields dan mendakwa ditumbuk di kepala serta diminta mengalihkan kenderaannya.

Susulan itu, pemandu terbabit Ong Ing Keong, 46, membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. 

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bagi pertuduhan di hadapan Hakim Dharmafikri Abu Adam, Muhammad Hafiz dan Syed Salim masing-masing…
Berita Domestik
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata pemandu e-…
Berita Domestik
  Menurutnya, berdasarkan siasatan mangsa mengambil penumpang iaitu remaja perempuan berusia 16…