Jika Malaysia Airlines ditutup, Firefly jadi syarikat penerbangan nasional

oleh SALINA JALIL|
Khazanah Nasional Bhd mempunyai pilihan untuk menyalur modal kepada Firefly sekali gus menjadikannya sebagai syarikat penerbangan nasional dalam memenuhi keperluan pengangkutan udara negara jika Malaysia Airlines terpaksa ditutup.


Ia adalah pilihan yang terakhir dipertimbangkan sayap pelaburan kerajaan itu sekiranya rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat tidak tercapai dengan baik bagi memulihkan Malaysia Airlines.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata buat masa ini rundingan dengan pemiutang dan pemajak pesawat masih berjalan.

 

Beliau berkata, Khazanah dan Malaysia Aviation Group (MAG) akan membincangkan langkah seterusnya apabila kedudukan dan hasil rundingan berkenaan menjadi lebih jelas.

 

"Antara pilihan alternatif yang boleh dipertimbangkan ialah, yang mana Khazanah bersedia untuk menamatkan pembiayaan untuk Malaysia Airlines dan sebaliknya, akan membiayai Firefly untuk mengembangkan operasinya bagi tujuan memenuhi ketersambungan atau "connectivity" yang diperlukan negara.

 

"Sekiranya dilaksanakan dengan jaya, Firefly berpotensi untuk menjadi syarikat penerbangan kebangsaan," katanya kepada BH bagi mengulas sama ada langkah menutup operasi Malaysia Airlines termasuk dalam pilihan terbaik yang dipertimbangkan.

 

Shahril mengakui sekiranya jika alternatif itu menjadi kenyataan, sememangnya akan terdapat pihak berkepentingan yang mungkin terkesan.

 

Beliau memberi jaminan, sekiranya ia berlaku, pihaknya akan ambil langkah yang perlu untuk mengurangkan sebarang kesan negatif.

 

Shahril berkata, sektor penerbangan adalah sektor yang strategik kepada negara kerana ia adalah salah satu 'enabler' atau pemboleh ubah untuk aktiviti ekonomi dan menyumbang sebanyak 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019.

 

Sebagai dana pelaburan negara, beliau berkata, Khazanah mempunyai peranan untuk menyumbang kepada usaha Kerajaan dalam menyediakan ketersambungan atau 'connectivity' untuk negara.

 

Katanya, Khazanah boleh menyokong usaha itu sama ada melalui suntikan dana ke dalam Malaysia Airlines yang distruktur semula dengan jayanya, atau membiayai Firefly untuk mengembangkan operasinya.

 

"Apa-apa pun, syarikat penerbangan yang dipilih mestilah mempunyai kewangan yang mampan supaya ia dapat menghasilkan pulangan.

 

"Sekiranya Khazanah terus membiayai Malaysia Airlines yang tidak mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sering mengalami kerugian, Khazanah akan terpaksa melupuskan pegangannya dalam aset strategik yang lain atau menambah hutang," katanya.

 

 

 

TheStar

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sehubungan itu, MAG menerusi kempen Jualan Khas Percutian Malaysia Airlines, kini menawarkan…
Berita Domestik
Tambang yang dihadkan itu terpakai dari Kuala Lumpur (KUL) untuk perjalanan tiga hari sebelum…
Informasi
"Penubuhan sambungan terus dari PEN menunjukkan dedikasi kami memacu pertumbuhan di hab utara dan…