JETTA laku keras di China, jenama baharu di bawah Volkswagen

oleh Muhammad Md Tajudin|
Strategi sub jenama (sub-brand) bukan sesuatu yang baharu dalam dunia automotif. Toyota sebelum ini mempunyai Scion dan beroperasi selama 13 tahun dengan jualan melebihi sejuta unit.

Volkswagen walaupun berada di dalam kumpulan automotif mega turut mempunyai sub jenama dikenali sebagai JETTA.

Kenderaan jenama JETTA mula memasuki pasaran pada September 2019 dan setakat ini strategi tersebut berjaya. Ada dua model yang dilancarkan iaitu SUV VS5 dan sedan VA3.

Dengan sejumlah produk di dalam Kumpulan Volkswagen tidak sukar untuk mana-mana model dijenamakan semula sebagai JETTA.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
JETTA

 

Sejak September, hampir 30,000 unit kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan. Jumlah itu menjadikan JETTA sebuah jenama baharu paling berjaya diperkenalkan di China dalam masa beberapa bulan lalu.

Melalui JETTA, VW mensasarkan pelanggan muda di China yang mahukan kenderaan aras mula (entry level) di dalam dunia VW.

Segmen aras mula di China secara lazimnya didominasi oleh jenama tempatan dengan satu pertiga jualan kereta penumpang terdiri daripada segmen itu.

Di dalam segmen itu, sekitar 80 peratus pelanggan membeli kereta pertama dalam hidup mereka.

 

JETTA VA3

 

Secara purata pembeli pertama di China berusia 20 tahun lebih muda berbanding Eropah atau Amerika. Di dalam segmen aras mula mereka berbelanja di antara EUR8,000 (RM37,002) hingga EUR15,000 (RM69,380).

Walaupun sebuah sub jenama, JETTA diletakkan sebagai jenama bebas di pasaran tetapi dengan identiti yang hampir kepada dunia VW.

JETTA berpegang kepada DNA VW iaitu kualiti, keselamatan, pengekalan nilai dan bahasa rekabentuk yang jelas.

Selain itu, JETTA menggunakan konsep jualan inovatif di antaranya bilik pameran dengan teknologi digital.

 

JETTA VS5

 

Selepas berjaya melancarkan dua buah model, JETTA akan menyusulinya dengan SUV kedua dalam masa terdekat. Kesemua model JETTA dikeluarkan oleh FAW-Volkswagen di Chengdu.

Dengan pegangan pasaran dunia hampir 50 peratus, China merupakan pasaran tunggal terbesar VW. Jualan dua tahun sebelum ini berjaya melepasi angka tiga juta unit.

Meskipun pasaran di China mencabar sekarang ini, VW yakin akan mengulangi prestasi jualan yang sama pada tahun 2019. 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Lihat sahaja kepada jenama Datsun yang sempat bertahan selama beberapa tahun, itu pun dikritik…
Berita Global
Tahukah anda, semenjak pengenalan Jetta Mk2 pada 5 Disember 1991, pasaran China merupakan antara…
Berita Global
Sedan Jetta yang dilengkapi dengan enjin GTI, Jetta GLI sudah pun selamat dilancarkan baru-baru ini…