Percubaan bersejarah itu berlangsung pada 16 Oktober 2025, bermula dari Terminal Feri Heisha Zhou di Wuhu, wilayah Anhui yang juga merupakan ibu pejabat Chery sebelum menamatkan perjalanan di Terminal Feri Nanlong di seberang sungai.
Sepanjang 22 minit perjalanan, SUV hibrid itu merentasi 1,480 meter laluan air dengan jarak terapung sekitar 1.2 km, menentang arus yang bergerak antara 5 hingga 10 km/j. Jetour G700 mengekalkan kestabilan di permukaan air dengan kelajuan sekitar 7 km/j sebelum tiba di seberang dengan selamat.

Kejayaan ini dicapai hasil kejuruteraan canggih Chery termasuk badan kenderaan tanpa lubang (hole-free body), sistem pengedaran udara aktif, serta sistem pendorong berkelajuan tinggi berasaskan silikon karbida 800V. Kenderaan ini turut dilengkapi giroskop 6-paksi yang secara automatik melaras imbangan badan untuk memastikan kestabilan optimum sepanjang berada di atas air.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Chery Auto, demonstrasi ini bukan sekadar ujian ketahanan, tetapi simbol inovasi teknologi automotif China yang kini berada di tahap global.
Jetour Zongheng G700 bakal dilancarkan secara rasmi pada 19 Oktober ini. Ia digelar sebagai SUV hibrid off-road mewah bersaiz besar dan akan ditawarkan dalam empat varian, dengan harga pra-jualan antara 349,900 hingga 429,900 yuan (anggaran RM49,000 hingga RM60,200).
Model ini dikuasakan enjin 2.0TD khusus untuk sistem hibrid yang menghasilkan 155 kW (208 hp) dan 340 Nm, dengan kecekapan haba 45.5%. Ia menggunakan seni bina 800V, transmisi DHT dua kelajuan, sistem bateri dwi-lapisan 4C, serta motor elektrik P4 dua kelajuan. Secara keseluruhan, G700 mampu menjana kuasa sehingga 560 kW (751 hp) dan tork 795 Nm, serta jarak operasi gabungan mencecah 1,400 km bagi setiap tangki penuh.
Sungai Yangtze, atau dikenali sebagai Chang Jiang dalam bahasa Mandarin, merupakan sungai terpanjang di Asia dengan panjang sekitar 6,300 km. Ia mengalir dari Pergunungan Tanggula di Dataran Tinggi Tibet sehingga ke Laut China Timur berhampiran Shanghai. Bandar Wuhu pula terletak di tebing selatan sungai ini, kira-kira 350 km dari muara Sungai Yangtze. Sumber: carnewschina.com