Jerut pemandu e-hailing, larikan kereta, pasangan kekasih ditahan polis

oleh Penyumbang Rencana|
foto Sinar Harian
Polis menahan pasangan kekasih remaja selepas dipercayai menjerut leher seorang pemandu e-hailing sebelum melarikan kereta milik mangsa dalam kejadian di Taman Negara Tanjung Piai di Pontian Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, suspek lelaki berusia 18 tahun dan suspek perempuan berusia 17 tahun itu diberkas di kawasan Pangsapuri Rakyat Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka, Isnin.

Menurut beliau, polis menerima laporan berhubung kejadian samun yang mendatangkan kecederaan pada jam 8.51 pagi, Ahad lalu sebelum menjalankan operasi hasil maklumat risikan awam.

“Serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan pasukan Task Force Lejang Ketua Polis Daerah Pontian di kawasan pangsapuri tersebut antara antara jam 7 pagi hingga 2 petang Isnin.

“Hasil operasi, polis berjaya menahan pasangan remaja tempatan yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku melakukan samun dengan cara menjerut leher mangsa menggunakan tali sling sebelum menarik mangsa keluar dan melarikan kereta Proton Saga miliknya ke Johor Bahru.

Beliau memberitahu, selepas melarikan kenderaan tersebut, suspek dipercayai meninggalkan kereta mangsa di kawasan restoran makanan segera di Stulang Laut, Johor Bahru.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki yang tidak bekerja mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik selain positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek remaja perempuan pula tidak bersekolah, tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif ujian dadah,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas semula kereta Proton Saga milik mangsa, sebilah pisau boleh laras, tali sling yang digunakan dalam kejadian, telefon bimbit serta pelbagai barangan peribadi milik mangsa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM30,000.

"Mangsa yang mengalami kecederaan kini dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

"Antara kecederaan dialami mangsa ialah pendarahan dalaman di kepala, calar di bahagian belakang badan, gegendang telinga kanan bocor serta luka koyak pada kulit lutut kanan,"ujarnya.

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mahkamah mengekalkan hukuman denda RM6,000 serta pembatalan lesen memandu selama lima tahun yang…
Berita Domestik
Bagi pemandu e-hailing, isu bahan api bukan sekadar soal kos biasa, tetapi terus memberi kesan…
Berita Domestik
Menurut Fairuz, pendekatan TPM yang teliti dan berjiwa rakyat membuktikan komitmen kepimpinan…