Jengkaut, baju dan cebisan tulang ditemui di kuari

oleh Hamimah Hamid|
SATU jengkaut dan rangka tulang dipercayai manusia ditemui pagi tadi di lokasi dua mangsa tertimbus dalam tragedi runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai Mac lalu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bombaa Dan Penyelamat Perak (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, jengkaut berkenaan ditemukan pada pukul 11.45 pagi diikuti beberapa tulang dan baju sekitar pukul 12.30 tengah hari.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

“Semasa kerja-kerja menggali jengkaut tersebut dijalankan kita mendapati terdapat sisa tulang dan juga sisa seperti pakaian mangsa di berhampiran dengan lokasi jengkaut tersebut,” katanya.

Menurut Muhamad Shahrizal, lokasi pencarian terbaru itu  berjarak 25 meter dari lokasi pencarian mangsa yang dijangkakan semasa operasi mencari pada kejadian runtuhan Mac lalu.

pasukan bomba meneliti keadaan sekeliling

Katanya, jengkaut tersebut ditemui di bukit bersebelahan dari lokasi dipercayai dibawa oleh timbunan runtuhan.

Tambah beliau, operasi pencarian masih diteruskan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) bagi mencari lokasi satu lagi jengkaut dan seorang lagi mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan berkata, pihak polis mendapat makluman mengenai penemuan itu daripada pihak pengusaha kuari pada pukul 8.30 pagi.

Katanya, cebisan tulang dan rangka manusia yang ditemui itu telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun
(HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan ujian DNA bagi tujuan pengecaman.

Insiden runtuhan pada 8 Mac lalu telah mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49, bersama jentera digunakan.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke HRPB untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.