Jenayah Siber - admin kelab harus ambil serius

oleh HEZERI SAMSURI|
Malaysia mempunyai ribuan kelab-kelab kereta dan motosikal.

Samada berdaftar atau tidak, kelab-kelab ini membantu industri automotif negara dengan menjadi sumber informasi pengguna bagi peminat kenderaan.

Dari segi bidang kepenggunaan, informasi dari kelab juga jauh lebih berharga dari artikel-artikel media kerana tiada siapa yang mengetahui kenderaan itu sendiri dari pemiliknya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun begitu, kebelakangan ini sudah mula timbul isu-isu penipuan yang wujud, terutama di dalam laman Facebook atau Whatsapp kelab-kelab ini.

Kes penjualan barangan yang kemudiannya ghaib begitu sahaja setelah duit dipungut pernah terjadi.

 

 

Careta duduk bersama Timbalan Penguasa Polis (DSP) Nur Asrul Ariff, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Siber& Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil  sejak tahun 2011 untuk mengetahui lebih lanjut akan isu ini.

Menurut Asrul, jenayah siber termasuk penyebaran berita tidak benar (tular palsu) dan penjualan barangan oleh scammers.

Masalah berlaku bila ia menggunakan platform media sosial seperti Facebook kerana identiti penipu itu sukar untuk dikesan," jelas beliau yang juga ada menyertai forum dan kelab motosikal.

Antara yang sedang popular sekarang ialah penipuan panggilan yang menggunakan teknologi Voice-over Internet Protocol (VoIP).

 

 

"Perisian VoIP adakalanya memanipulasi sistem Caller ID. Contohnya, panggilan yang mereka buat akan muncul di dalam skrin telefon anda seperti ia datang dari nombor bank anda atau dari balai polis," terang Asrul.

"Pemanggil palsu ini juga ada yang akan menyamar menjadi anggota polis, kastam, SPRM atau pegawai bank dan memberitahu mangsa didakwa melakukan rasuah atau bakal disaman kerana lari dari cukai atau kad kredit anda digunakan secara haram."

"Mereka akan meminta informasi kewangan mangsa  dan akan terus menakutkan mangsa."

"Akhirnya, mereka akan menawarkan bantuan dengan cara memindahkan duit yang ada ke akaun lain. Bila ini berlaku, sindiket akan mengeluarkan wang yang ada. Selalunya mangsa akan melaporkan kejadian ini selepas beberapa minggu dan pada masa itu, sudah terlambat untuk menjejak sindiket," kata Asrul kepada Careta.

 

 

Jika anda ketawa dan merasakan taktik ini terlalu remeh atau terlalu mudah untuk dipercayai, Asrul berkongsi jumlah kes penipuan begitu yang telah berlaku.

  • Tahun 2017 - 2,437 kes membabitkan RM53 juta
  • Tahun 2018 (dari Januari sehingga bulan September) - 3,269 kes membabitkan RM130 juta.

"Jumlah kes kian meningkat sebenarnya," sambung beliau. 

Setiap hari, purata kes penipuan melalui telefon di Malaysia ialah antara 15 ke 30 kes. Hampir kesemua mangsa ialah rakyat Malaysia. Untuk kes 419 Scam, secara purata lapan ke 20 kes berlaku setiap hari dan mangsa adalah rakyat Malaysia dan warganegara asing.

Pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah turut memantau dan mengambil rekod nombor-nombor yang disyaki terbabit dengan jenayah itu.

"Nombor-nombor yang disyakki akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia untuk siasatan lanjut dan disenaraihitamkan”.

 

 

Selain itu, turut menjadi cabaran kepada pihak polis adalah penggunaan keldai akaun iaitu akaun pihak ketiga yang digunakan oleh penjenayah.

Akaun-akaun yang digunakan pula ialah akaun perbankan yang dimiliki oleh peminjam Ah Long, penagih dadah atau mereka yang diperdaya semasa mencari pekerjaan.

"Sindiket juga ada yang mengupah orang untuk membuka akaun bank dan menggunakan akaun tersebut untuk aktiviti jenayah," sambungnya lagi.

Proses membuka akaun yang mudah ini juga menjadikan Malaysia sebagai hab penipuan dalam kes 419 Scam.

 

 

Komunikasi di dalam Whatsapp sebenarnya boleh dikesan dan segala kandungan yang dikongsi juga boleh dijejak puncanya. Ini penting dalam siasatan kes berita palsu.

"Pihak polis dan juga pihak berkuasa negara lain sebenarnya ada memantau perkongsian maklumat atau kandungan terlarang di media sosial terutama sekali yang melibatkan hasutan keatas aspek keagamaan, keselamatan awam dan kandungan lucah terutama yang melibatkan kanak kanak," sambung anak kelahiran Rantau Panjang ini.

Jika anda menerima berita-berita sensasi pula, periksa sumber berita dan jika anda tidak kenal sumber itu, padamkan mesej itu dan jangan sebarkan. Mereka yang membantu dalam penularan berita palsu boleh ditahan untuk siasatan.

 

MyKad

 

Kadang-kala ada juga yang mahu membantu dengan menyebarkan informasi mangsa. Contohnya, penyebaran gambar MyKad mangsa kemalangan untuk mencari waris.

"Padamkan nombor MyKad itu kerana nombor itu ialah maklumat peribadi yang penting," ujar Asrul.

"Admin atau jawatankuasa kelab juga perlu mempunyai informasi ahli-ahli kelab atau kumpulan Whatsapp/Telegram. Ini penting kerana jika ada kes penipuan atau penularan berita palsu, pihak polis boleh mendapatkan maklumat dari admin," saran beliau.

 

 

Bagaimanakah kita boleh pastikan ia bukan satu penipuan?

Asrul berkata ada beberapa cara untuk memastikan urusan itu bukan satu penipuan.

  1. Periksa Facebook Page Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police. Kes-kes terbaharu akan dikongsi di sana."
  2. Semak laman web Semak Mule dan masukan nombor akaun bank ke dalam sistem yang ada di dalam laman web tersebut. Jika nombor akaun itu disyakki terbabit dengan penipuan, amaran akan dikeluarkan.

Di masa hadapan, sistem Semak Mule juga akan membolehkan anda menyemak nombor telefon yang disyakki digunakan dalam operasi penipuan.

Jika anda telah ditipu, ini adalah apa yang anda perlu lakukan.

1. Jangan padam komunikasi anda
Penipu atau scammer selalunya akan meminta anda memadamkan semua komunikasi melalui Text Messanging atau Whatsapp atau Facebook Messenger atau e-mail. Jika ini yang dipinta, mereka mungkin penipu. Jangan padamkan.

2. Hubungi pihak polis dengan kadar segera dan bawa bahan bukti seperti rekod perhubungan (telekomunikasi) dengan penipu.

 

 

Penipuan tidak akan berlaku jika semua kita sama-sama peka kepada perkara ini. Kepada yang menerima mesej atau panggilan yang meragukan, jangan terus percaya. Bertanya pada rakan-rakan dan gunakan cara-cara di atas untuk memastikan ia bukan scam.

Careta juga menyarankan agar anak-anak sering mengingatkan orang tua di kampung mengenai bahaya scammers ini. Memang ramai orang tua yang menjadi mangsa penipuan kerana mereka tidak begitu arif akan teknologi dan juga mereka beranggapan bahawa media sosial itu hanya memaparkan maklumat yang benar.
 

 

Untuk admin-admin kelab motosikal, kereta, trak pikap, 4X4, lori, bas dan lain-lain, pastikan jika ada ahli yang mahu menjual sesuatu, rekod diri mereka dikenali. Jika mereka bising dan berkata kita menutup rezeki mereka, ingatkan mereka akan tanggung-jawab untuk menjaga ahli-ahli kelab.

Pihak Careta berterima kasih kepada DSP Nur Asrul Ariff kerana sudi meluangkan masa beliau untuk membantu Careta memberikan informasi penting ini kepada pembaca kami.

Bersama kita banteras penipuan siber.

 

*Ini ialah pertemuan peribadi antara Careta dan DSP Nur Asrul Ariff.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"(Ia) termasuk memaparkan gambar lesen memandu JPJ bagi menarik dan memikat orang ramai mendapatkan…
Berita Domestik
Isu itu menyebabkan imej syarikat dan perniagaan mereka tercalar sehingga menimbulkan kebimbangan…
Berita Domestik
Sewaktu sedang melayari Facebook (FB), katanya, dia terpandang iklan jualan lelong motosikal dengan…