Jeep Grand Wagoneer Concept, ini baru SUV Amerika!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Jeep Grand Wagoneer Concept
Jeep Grand Wagoneer Concept
Kereta buatan Amerika Syarikat mempunyai identiti tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan gayaan atau trend semasa. 

Ia sukar untuk digambarkan tetapi secara umumnya, gaya Amerika mempunyai beberapa ciri seperti garis badan, saiz (volume) dan lebar.

Senang cerita, gaya Amerika ialah kereta yang berterus-terang, tiada lekuk keterlaluan dan mempunyai badan besar.

Satu contoh model Amerika Syarikat yang boleh dibuat contoh ialah Jeep Wagoneer dan pertama kali diperkenalkan pada 1962. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Jeep Grand Wagoneer Concept

 

Wagoneer merupakan kenderaan pacuan empat roda pertama yang dipadan dengan transmisi automatik dan perintis kepada SUV moden.

Model Grand Wagoneer pula diperkenalkan pada tahun 1984 dan permulaan kepada SUV premium dengan kelengkapan standard seperti balutan kulit, penyaman udara, radio stereo AM/FM/CB, penambahan penebat bunyi dan kemasan ira kayu.

Selain itu, Wagoneer di antara model Jeep paling lama dikeluarkan iaitu dari tahun 1963 sehingga 1991.

Setelah hampir tiga dekad tanpa model pengganti, Jeep akhirnya mempertontonkan Grand Wagoneer Concept pada 3 September 2020 yang menandakan kembalinya sebuah ikon klasik dan premium Amerika Syarikat.

Seperti model sebelumnya, Grand Wagoneer bukan model biasa-biasa dan diposisikan sebagai SUV premium.

 

Jeep Grand Wagoneer Concept

 

Apa yang istimewa tentang model baharu ini? Rangkaian kuasa elektrifikasi, sistem pacuan 4x4 luar jalan raya (off-road) canggih dan ciri dalaman premium.

Dari segi reka bentuk, jelas ini SUV buatan Amerika Syarikat dengan saiz besar. Bersegi dan berkotak tanpa lekukan ketara pada permukaan badan. 

Selain badan besar, roda juga besar dengan model konsep dipasangkan roda aluminium 24 inci.

Pada bahagian dalam, Grand Wagoneer Concept menawarkan sehingga tujuh penumpang dengan kerusi kapten pada baris kedua.

Model ini juga mewah dengan skrin yang terdiri daripada paparan 12.3 inci di sebalik stereng, 12.1 inci pada konsol tengah dan satu lagi skrin 10.25 inci di bawahnya. 

Untuk penumpang sebelah pemandu ada satu lagi skrin berukuran 10.25 yang dipasang pada papan pemuka.

 

Jeep Grand Wagoneer Concept

 

Masih belum habis, penumpang baris kedua disediakan skrin 10.1 inci pada konsol tengah di antara kerusi kapten dan setiap seorang mempunyai akses kepada skrin sentuh hiburan saiz 10.1 mereka sendiri. 

Grand Wagoneer Concept juga satu-satunya kenderaan dengan sistem audio yang dikuasakan McIntosh, sebuah jenama Amerika Syarikat yang terkenal dengan sistem audio kediaman bermutu tinggi.

Sistem audio yang dipasang mempunyai 23 pembesar suara buatan khas dan disambung kepada amplifier 24 saluran.

Jeep tidak memperincikan rangkaian kuasa SUV ini kecuali digerakkan nadi hibrid plug-in elektrik dan keupayaan pacuan 4x4.

Generasi terdahulu sepanjang pengeluarannya dikuasakan pelbagai jenis enjin seperti 3.8L, 4.2L, 5.4L, 5.7L, 5.9L dan 6.6L.

Model produksi Wagoneer dan Grand Wagoneer dijadual untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat pada tahun 2021 dan dikeluarkan di Warren, Michigan.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Jeep Grand Wagoneer Concept