Jeep Avenger 2023 - SUV elektrik segmen B, 154 hp, 260 Nm untuk pasaran Eropah

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat Jeep yang selama ini dikenali sebagai pengeluar kenderaan SUV dan off-road kini menceburkan diri dalam bidang kenderaan elektrik menerusi model Avenger (bukan judul filem).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jeep Avenger 2023 membuat kemunculan rasmi bersempena dengan acara Paris Motor Show 2022, di mana ia merupakan sebuah SUV bersaiz kecil yang direka untuk pasaran Eropah.
 

EV


Dibangun menggunakan senibina eCMP Stellantis (Peugeot e-2008, Opel Mokka e, Citroen DS3 E-Tense), Jeep Avenger 2023 dilengkapi dengan motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 154 hp dan 260 Nm.

Sementara pek bateri berkapsiti 54 kWh yang diposisikan di bawah tempat duduk pula menawarkan jarak gerak gandingan sejauh 400 km (data WLTP), atau 550 km di dalam kitaran urban.

Pengecasan pantas 100 kW pula membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa 24 minit, atau jarak sejauh 30 km dalam masa hanya tiga minit sahaja, sementara pengecasan 11 kW AC pula memakan masa 5.5 jam untuk penuh.
 

EV


Sebagai sebuah SUV segmen B, Jeep Avenger 2023 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm, sudut mendatang sebesar 20 darjah, sudut breakover 20 darjah dan sudut pelepasan 32 darjah yang sangat berguna untuk aktiviti off-road yang ringan.

Ia hadir dengan beberapa mod pemanduan Selec-Terrain seperti Normal, Eco, Sport, Snow, Mud dan juga Sand.

Rekaan luar Jeep Avenger 2023 ini banyak membawakan elemen ikonik dan klasik Jeep, dengan rekaan jeriji tujuh slot, lampu utama LED terpisah, rekaan fender yang berisi dan arka roda hampir bersegi, serta lampu belakang dengan grafik huruf X.

Pemasangan cladding plastik menyeluruh pula menawarkan perlindungan daripada impak pelanggaran kelajuan rendah yang biasa dialami di benua Eropah.
 

EV


Susun atur ruang kabin pula sangat ringkas dengan sebahagian besar panel membawakan warna badan, skrin digital di depan pemandu, skrin infotainmen 10.25 inci terapung dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, ruang storan barangan kecil pada bawah corong udara dan konsol tengah, serta sistem pendingin hawa automatik.

Ruang kargo di bahagian belakang pula menawarkan storan sebesar 380 liter.

Selain daripada penderia parkir 360 darjah dan 'paparan dron', Jeep Avenger 2023 juga turut dilengkapi dengan ADAS dengan sistem pemanduan autonomi Tahap 2 yang merangkumi Traffic Jam Assist, Blind Spot Monitoring, Adaptive Cruise Control, Lane Centering dan Active Park Assist.
 

EV


Jeep Avenger 2023 bakal ditawarkan secara rasmi di Eropah bukan sahaja dalam versi EV, malah ia juga bakal ditawarkan dalam versi enjin pembakaran dalaman kelak.