Jazeman Jaafar terangkan lima ciri unik perlu ada pada helmet perlumbaan

oleh Mohamad Hanif|
Sukan permotoran sememangnya merupakan salah satu bidang yang amat berisiko, di mana berdasarkan statistik kira-kira 25 peratus daripada pelumba professional terbabit di dalam kemalangan terpaksa ditahan di hospital.
Modenas

Ia merupakan angka yang cukup tinggi jika dibandingkan dengan sukan-sukan besar di peringkat antarabangsa.

Oleh sebab itu, pelbagai langkah telah diambil dalam usaha untuk mengurangkan impak kemalangan terhadap pelumba, dan salah satu daripadanya adalah rekaan helmet itu sendiri.

Jazeman Jaafar, seorang pelumba Malaysia di peringkat antarabangsa menerangkan lima ciri unik yang perlu ada pada helmet perlumbaan professional.

 

1. Binaan daripada gentian karbon

sumber: ThoughCo


Bertindak sebagai lapisan tunggal yang melindungi kepala pelumba, helmet memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk mengurangkan impak terus daripada pelanggaran.

Dalam masa yang sama, struktur binaannya perlulah ringan supaya pelumba tidak merasakan beban ketika perlumbaan, terutama dalam tempoh masa yang lama (seperti perlumbaan endurance).

Oleh sebab itu, binaan gentian karbon telah dipilih sebagai bahan utama disebabkan kekuatannya, tahan lasak, ringan, serta ciri di mana ia mampu 'mengedarkan' daya impak pelanggaran pada permukaan berbanding tertumpu kepada kawasan impak tersebut.

Menurut Jazeman lagi, penggunaan bahan tersebut boleh digabungkan dengan bahan lain bagi membentuk lapisan perlindungan yang lebih kuat.
 

2. Bahan kalis api

sumber: Dragzine


Dalam sukan perlumbaan kereta, pemandu terpaksa duduk di dalam satu ruang yang terkurung, di mana ia ada kalanya menyukarkan mereka untuk keluar terutama ketika saat kecemasan.

Oleh sebab itu menurut Jazeman, "tidak seperti sukan motosikal, disiplin perlumbaan kereta memerlukan binaan helmet mempunyai ciri kalis api.

Bahan kalis api tersebut kebiasaanya duduk di dalam lapisan dalaman helmet, dan diperbuat daripada bahan nilon atau Nomex.

Ia melengkapi sut perlumbaan yang biasanya dibina supaya kalis api, membolehkan pemandu dapat bertahan dengan kepanasan dan bara api yang disebabkan oleh sesebuah kemalangan.


3. Visor


Selain daripada binaan yang ringan dan kalis api, binaan visor juga merupakan satu perkara penting yang perlu ada pada helmet perlumbaan.

Sama seperti binaan helmet, visor juga perlu mempunyai ciri kalis api diperbuat daripada bahan polikarbonat yang tahan lasak, kalis pecah dan ringan.

"Disebabkan kereta lumba direka dengan titik graviti yang amat rendah, ia akan mudah mengakibatkan bendasing mudah menerjah ke dalam kabin pada kelajuan yang tinggi dan mengakibatkan bahaya kepada pelumba.

"Oleh sebab itu, binaan visor perlu mempunyai ciri yang disebutkan tadi, dan membolehkan pelumba fokus kepada perlumbaan tanpa terkesan dengan 'serangan' bendasing itu tadi.

 

sumber: Gran Turismo


Sesetengah visor dilengkapkan dengan lapisan tint yang mampu berubah sendiri bergantung kepada kondisi pencahayaan, malah ada visor yang dilengkapi dengan ciri pemanasan bagi mengelakkan pembentukan kabus terutama di dalam keadaan cuaca buruk.

Salah satu teknik menarik yang digunakan oleh sesetengah pengeluar helmet adalah penambahan lapisan plastik yang boleh dicabut, dan ini membolehkan pemandu membuang lapisan yang sudah rosak teruk untuk mendapatkan penglihatan yang lebih jelas di dalam perlumbaan.

 

4. Liang udara


Helmet perlumbaan juga perlu mempunyai ciri liang udara yang membolehkan aliran udara sejuk, bersih dan segar sepanjang perlumbaan.

Menurut Jazeman, liang udara ini merupakan satu-satunya cara pelumba mendapatkan aliran udara segar, dan oleh sebab itu pelbagai usaha kejuruteraan dan rekaan telah pun dicurahkan bagi memastikan ia menjalankan tugas dengan baik.

Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan penapis yang mampu menghalang bahan yang berbahaya seperti habuk brek, karbon dan percikan minyak pelincir daripada memasuki ruang helmet.


5. Binaan kustom, dan rekaan tersendiri

sumber: GT World Challenge Europe


Setiap pemandu memiliki ukuran dan rekaan helmet yang tersendiri dan dengan bantuan peralatan digital termaju seperti Computer-Aided Design (CAD) dan perisian permodelan 3D, ia membolehkan pengeluar helmet untuk mengukur dan mereka sebuah produk helmet yang khusus untuk setiap pelumba.

Ini juga membenarkan pelumba untuk memilih rekaan luaran yang tersendiri berdasarkan kehendak masing-masing.

Ketika ditanya apakah inspirasi di sebalik helmet kustom beliau, Jazeman menjelaskan, "rekaan helmet saya adalah kekal sama semenjak saya menceburkan diri di dalam karting, merah dan biru adalah warna kegemaran saya.

"Untuk rekaan, saya mahukan rekaan yang lancar, dan dalam masa yang sama menyerlah. Ciri anak panah yang tajam itu menjadikan ia amat mudah untuk diingati!."

Sumber: MARii

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Program TTAP ini direka untuk meningkatkan skil dan ilmu pengetahuan bakat tempatan menerusi…
Berita Global
Mereka yang merupakan antara rakyat Malaysia yang pertama bertanding di dalam kejuaraan berprestij…
Berita Global
Bermula daripada kegagalan suhu enjin pada pemulaan perlumbaan, pemandu pertama Jazeman terpaksa…