Jambatan Saloma (Kg Baru-KLCC) kini dibuka kepada orang ramai

oleh Mohamad Hanif|
Jejantas pejalan kaki yang menghubungkan antara Kampung Baru dan Jalan Ampang yang dikenali dengan nama Saloma Link kini dibuka secara rasmi kepada orang awam.

Dibina dengan kos mencecah RM31 juta, jambatan sepanjang 370 meter itu bermula dari Lorong Raja Muda Musa 3 (100 meter dari LRT Kampung Baru) menghubungkan kepada Lorong Saloma berdekatan Menara Public Bank, Jalan Ampang.

Pembinaan Jambatan Saloma mengambil masa kira-kira 18 bulan dengan bertemakan konsep sireh junjung yang menjadi sebahagian daripada adat perkahwinan Melayu. 

 


Dengan terbinanya jambatan baharu ini, perjalanan yang biasanya mengambil masa 30 minit dari KLCC ke Kampung Baru akan dipendekkan kepada beberapa minit sahaja dengan menyeberangi Lebuhraya AKLEH dan Sungai Klang.

Selain daripada menyediakan laluan pejalan kaki dan khidmat lif, pihak pemaju juga turut membina laluan khas bagi pengguna basikal menolak kenderaan mereka melalui jambatan tersebut. 

Bagi mengelakkan sebarang perbuatan vandalisme, pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru hanya akan membuka jambatan ini mengikut waktu operasi LRT Laluan Kelana Jaya, bermula awal pagi sehingga tengah malam. 

 

Add new comment