Jambatan darat Thailand bakal jadi pesaing ECRL?

oleh Mohamad Hanif|
Thailand dilaporkan berhasrat untuk membina jambatan darat (land bridge) bagi menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Siam bagi merancakkan lagi aktiviti ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Malah, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha pada Oktober tahun lalu turut mengarahkan kajian kebolehlaksanaan mengenai cadangan pembinaan jambatan darat yang menghubungkan pelabuhan di Ranong dan juga Chumpon.

Laluan jambatan darat sepanjang 130 km itu bukan sahaja menyediakan laluan kereta api dan lebuh raya, malah terdapat juga cadangan untuk membangunkan laluan paip minyak yang menghubungkan antara kedua-dua kawasan tersebut.

Sudah pasti cadangan jambatan darat ini mampu menjana lagi ekonomi tempatan setelah idea asal untuk membina Terusan Kra tidak diteruskan memandangkan terdapat kebimbangan impak dari segi politik dan keselamatan Thailand.

Jika projek ini menjadi kenyataan, ia mampu memendekkan jarak perjalanan yang terpaksa ditempuh kapal-kapal dagang sehingga 1,200 km, selain mampu mengelakkan ancaman rompakan dan aktiviti lanun di Selat Melaka yang sempit itu.

Malah, ia bakal memberikan saingan terus kepada sebuah lagi projek jambatan darat yang sedang dibina iaitu East Coast Rail Link (ECRL) bernilai RM44 bilion yang merangkumi jarak 700 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Kuantan.
 

pelabuhan singapura


Bagaimana pula dengan nasib pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia, seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Tanjung Pelepas, serta masa depan Pelabuhan Singapura yang merupakan kawasan pelabuhan paling sibuk di dunia selepas projek ini siap pada masa akan datang?

Idea untuk memendekkan jarak perjalanan antara timur dan barat merentasi negara tersebut sebenarnya telah wujud sejak kurun ke-17 lagi, dan projek "Terusan Kra" ini timbul semula semasa pemerintahan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Namun, projek ini tidak menjadi disebabkan kudeta yang menjatuhkan kerajaan pada tahun 2006.

Pembinaan terusan mampu memakan belanja yang cukup besar, dengan kos dikatakan sekitar $30 bilion hingga $50 bilion (RM125 bilion hingga RM209 bilion).

Selain daripada itu, kerajaan Thailand juga bimbang pembinaan Terusan Kra ini mampu memisahkan negara tersebut kepada dua bahagian, di mana ia mampu menyemarakkan lagi konflik bersenjata yang sedang berlangsung di selatan negara itu.

Harus diketahui, cadangan pembinaan Terusan Kra ini sebenarnya turut mendapat sokongan daripada China kerana ia dilihat mampu untuk memenuhi keperluan strategik negara itu.

Sumber: Defense Security Asia, Nikkei Asia Review, Bangkok Post