Jambatan darat ECRL hubungkan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang

oleh Penyumbang Rencana|
foto MRL
Kuantan Port Consortium Sdn Bhd, anak syarikat IJM Corporation Bhd; Northport (Malaysia) Bhd (Northport), ahli Kumpulan MMC dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan jambatan darat Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang dapat direalisasikan.

Kerjasama akan meningkatkan kesalinghubungan, kelancaran integrasi, kecekapan dan keselarasan pengangkutan dagangan antara kedua-dua pelabuhan.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

MoU itu menggariskan kerjasama menyeluruh di antara semua pihak bagi mengukuhkan perkongsian strategik merentasi beberapa bidang utama.

Ia termasuk pembangunan pelan strategik bagi mewujudkan jambatan darat yang bersepadu menghubungkan rel dan operasi pelabuhan, bagi memudahkan pergerakan kargo di antara kedua-dua pelabuhan dengan memanfaatkan ECRL dan mengurangkan masa transit.

Kerjasama ini juga akan memanfaatkan peluang perdagangan yang diperoleh daripada inisiatif 'Jalur dan Jalan' dan 'Halal Silk Route' bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan di seluruh Asia.

Pengerusi Kuantan Port, Lee Chun Fai, berkata MoU bersama Northport dan Malaysia Rail Link ini merupakan langkah transformatif dalam meningkatkan infrastruktur logistik dan perdagangan Malaysia.

"Dengan mengintegrasikan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang melalui ECRL, kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan pergerakan kargo tetapi juga meletakkan Pantai Timur sebagai hab logistik yang penting.

"Kerjasama ini menzahirkan komitmen kami dalam memacu pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, menarik lebih banyak pelaburan dan mengukuhkan hubungan antara kawasan Pantai Timur dan Barat.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan-rakan kongsi bagi merealisasikan potensi penuh kerjasama ini," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan & Pengarah Urusan IJM Corporation.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai MoU semasa Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan 2024, pada Khamis

Majlis disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Sementara itu, Azman berkata sebagai pengendali pelabuhan, Northport amat komited dalam membantu pelan strategik kerajaan bagi meningkatkan kecekapan dan kesalinghubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat, menghubungkan kawasan-kawasan pertumbuhan ekonomi masing-masing.

"Dengan kelebihan daya saing kami, MoU ini akan meningkatkan lagi peranan Northport sebagai Hab Pengedaran Serantau pilihan dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai gerbang utama negara.

"Laluan terus ECRL ke Pelabuhan Klang akan membolehkan Northport meningkatkan operasi multi-modal, memanfaatkan pembangunan berorientasikan transit untuk taman-taman perindustrian baharu di sepanjang penjajaran laluan kargo ECRL.

"Dengan memanfaatkan kekuatan dan sumber semua pihak yang terbabit, kami berhasrat untuk memastikan pergerakan kargo yang lebih pantas di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Darwis berkata pemeteraian MoU tiga pihak ini membuktikan komitmen untuk merealisasikan jambatan darat ECRL yang akan meningkatkan kesalinghubungan serta kecekapan logistik antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, MRL bersama Kuantan Port dan Northport, akan membangunkan pelan komprehensif yang melibatkan keperluan infrastruktur, prosedur operasi dan garis masa yang akan mengoptimumkan penggunaan jambatan darat ECRL.

"Ini termasuk menyelaraskan usaha antara semua pihak bagi memastikan integrasi lancar bagi operasi rel dan pelabuhan serta pergerakan kargo antara Kuantan Port dan Northport," katanya.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Malah, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha pada Oktober tahun lalu turut mengarahkan kajian…