Baca disini. (Maklumbalas JKR)
Hari ini, JKR mengumumkan kerja pembaikan kerosakan plat keluli Jambatan Bailey, jambatan panel keluli bermodular di Seksyen 102 Jalan Kuantan-Segamat, Pekan dijangka bermula awal minggu depan.
Pengarah JKR, Datuk Hafizah Zakaria berkata, jalan berkenaan akan ditutup sepenuhnya dan dijangka siap dalam tempoh seminggu bagi kerja pembaikan.
Katanya, notis awal penutupan jalan itu akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan kerja berkenaan.
“Kami menjangkakan kerja pembaikan akan bermula hujung minggu ini dan notis awal penutupan akan dikeluarkan bagi memudahkan pengguna jalan raya merancang perjalanan mereka
“Ketika pembaikan, Jambatan Bailey ini akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.
“Jambatan Bailey ini mengalami kerosakan kerana kenderaan yang melebihi had muatan 20 tan menggunakan jambatan ini yang menyebabkan berlakunya mendapan.
“Oleh itu saya menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi had muatan yang ditetapkan iaitu tidak lebih 20 tan bagi mengelak kerosakan berulang,” katanya.
Dalam satu kenyataan, JKR memaklumkan peningkatan jumlah kenderaan berat termasuk melebihi had muatan 20 tan yang melalui jalan itu dikenal pasti sebagai punca kerosakan plat keluli Jambatan Bailey.
JKR menjelaskan mengambil kira aliran trafik semasa yang tinggi, kerja pembaikan kerosakan hanya sesuai dilaksanakan selepas musim perayaan berikutan pembaikan Jambatan Bailey akan membabitkan penutupan keseluruhan jalan di lokasi itu.
Beberapa hari lalu, tular pengguna jalan raya meluahkan perasaan tidak puas hati berikutan mengambil masa lama untuk tiba di Jambatan Bailey di Lebuhraya Kuantan-Segamat.
Mereka berasa tidak selesa kerana perlu berdepan kesesakan lebih dua hingga tiga jam untuk melepasi jambatan itu termasuk kerosakan yang berlaku di jambatan itu.
Pada 7 Januari lalu, laluan itu ditutup berikutan mendapan tanah dikesan di laluan terbabit sehingga menyebabkan laluan berkenaan berlubang dan hampir putus.
Pada 27 Januari lalu, laluan itu kembali dibuka semula selepas Jambatan Bailey dibuka dua hala kepada kenderaan dengan had muatan dibenarkan tidak melebihi 20 tan dan had kelajuan 30 kilometer sejam (km/j).
Jambatan Bailey jenis Acrow 700XS itu dibina sepanjang 30.48 meter dengan kelebaran 9.3 meter. Ia dilapor akan dikekalkan di tapak berkenaan sehingga penyelesaian jangka panjang diambil.
Syabas JKR!
SUMBER : BuletinTV3