Jalan RM7.2 juta rosak: Pergerakan aliran air bawah tanah jadi punca

oleh Penyumbang Rencana|
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjelaskan isu kerosakan permukaan jalan di laluan pintas menghubungkan Meru ke Klebang di Ipoh adalah disebabkan terdapat pergerakan aliran air bawah tanah di jajaran tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, turapan jalan yang dibuat sebelum ini dikesan gagal menampung beban kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan pada bulan September dan tindakan pembaikan telah diambil.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata, sebagai tindakan pembaikan, sistem saliran ‘sub-soil’ dipasang di sebahagian jajaran terlibat bagi menyalurkan aliran air bawah tanah ke sistem saliran sedia ada, dan sebulan kemudian pembaikan kali kedua telah dibuat dengan menambah pemasangan saliran sub-soil di beberapa lokasi lain.

"Bagaimanapun hujan berterusan pada awal bulan ini telah meningkatkan aliran air bawah tanah dan melemahkan sebahagian besar lapisan jalan, sekali gus merosakkan permukaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember 2023 di Dewan Mesyuarat MBI di Ipoh, pada Selasa.

Rumaizi berkata, pihaknya telah mengarahkan konsultan projek berkenaan melaksanakan kajian lanjut berkaitan isu itu serta memfokuskan kepada kaedah pembaikan secara menyeluruh, dan MBI berharap pihak kontraktor akan melaksanakan kerja pembaikan semula struktur jalan terlibat dalam tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan.

Jumaat lepas beberapa media melaporkan jalan yang menelan belanja sekitar RM7.2 juta itu telah mengalami kerosakan, tidak sampai lima bulan selepas dibuka, sekali gus mengundang rasa tidak puas hati beberapa pihak berkaitan kerana laluan itu boleh dianggap sebagai laluan utama kepada ramai pengguna. 

 

Bernama