Menurut Landrico M Lerado Jr, 51, dia terpaksa bergerak lebih awal dari Sukau bagi mengelak kesesakan lalu lintas disebabkan keadaan jalan raya yang teruk ketika melalui laluan utama untuk ke lapangan terbang.
Landrico berkata, biasanya perjalanan dari Sukau ke lapangan terbang memakan masa kira-kira dua jam sahaja tetapi jika berlaku kesesakan jalan raya disebabkan keadaan jalan rosak ia boleh mencecah sehingga tiga jam setengah perjalanan.
"Hari ini pelancong yang saya bawa akan menaiki kapal terbang jam 1 tengah hari jadi kami terpaksa bergerak seawal jam 8.30 pagi untuk mengelak terlewat sampai di lapangan terbang.
"Sepanjang melalui laluan tersebut, kami yang menaiki bas terpaksa bergerak perlahan kerana keadaan jalan yang kurang baik dan berlubang. Bukan lubang sebesar piring tetapi sudah seperti kolam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Landrico berkata, situasi itu amat memalukan kerana Sabah yang terkenal dengan produk pelancongan tetapi masih belum dapat menyediakan fasiliti sempurna bukan saja untuk rakyatnya tetapi pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
"Kami amat malu bila berdepan dengan pelancong. Malah ada pelancong mempersoalkan walaupun kita sudah berada di tahun 2024 namun jalan raya masih teruk.
"Disebabkan keadaan jalan yang rosak ini juga banyak kemalangan telah berlaku di sepanjang laluan tersebut malah sehingga ada nyawa terkorban hanya kerana mahu mengelak lubang.
"Bila berlakunya kemalangan, pengguna jalan raya termasuk pelancong turut terkandas dalam kesesakan lalu lintas seperti yang berlaku baru-baru ini di mana ada pelancong terkandas selama lebih dua jam di laluan tersebut dan akhirnya menjejaskan jadual atau aktiviti pelancong itu sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau yang sudah 31 tahun melalui laluan tersebut berharap pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil perhatian dengan keadaan jalan raya di kawasan berkenaan.
"Ini kerana jalan tersebut adalah laluan utama bagi pelancong ke Sepilok atau ke Lapangan Terbang Sandakan," katanya.
- Tidak perlu masuk hutan, redah segala onak ranjau jalan berlumpur untuk mengalami sendiri pengalaman Borneo Safari, disarankan tempah tiket penerbangan ke Sabah sekarang atau mungkin perlu menanti kedatangan Agong ke sana nanti -