Jajaran Seksyen 9, 10 WCE dibuka - tiada tol dikenakan (buat masa ini)

oleh Mohamad Hanif|
JAJARAN Seksyen 9 dan 10 dari persimpangan Kampung Lekir ke Beruas, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dibuka kepada pengguna bermula 10 malam ini (23 September).

Malah laluan sepanjang 45 kilometer (km) itu juga tidak dikenakan tol buat sementara waktu.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02


Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan berkata, tol akan mula dikenakan selepas kerajaan membuat polisi mengenainya bagi lebuh raya itu.

Katanya, lebuh raya adalah keperluan dan elemen yang penting untuk menggerakkan nadi ekonomi dan infrastruktur negara.

“Pembinaan WCE yang juga laluan alternatif menghubungkan Selangor dan Perak dapat menjimatkan masa, memendekkan perjalanan serta melancarkan aliran trafik di kawasan sekitar.

“Pembukaan Seksyen 9 dan 10 dengan kos pembinaan sebanyak RM917 juta dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan selama 30 minit dari Kampung Lekir ke Beruas dan sebaliknya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan dua jajaran itu di Plaza Tol Kampung Lekir di Sitiawan, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah; Pengerusi WCae Holdings Berhad, Datuk Ir. Hamzah Hassan dan Pengarah Urusan WCE Holdings Berhad, Datuk Neoh Soon Hiong.

Syed Omar Sharifuddin berkata, lebuh raya itu juga mengambil kira ciri keselamatan yang mana hampir keseluruhan laluannya mempunyai permukaan yang lebih rata.

“Secara tidak langsung ia memberikan pemanduan lebih selesa serta dapat menjimatkan kos bahan api dan laluan seperti ini juga sangat sesuai bagi kenderaan berat yang tidak perlu mendaki bukit.

“WCE akan menjadi sistem penyuraian trafik dan laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan terutama pada musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang ke utara dan sebaliknya, apabila ia siap sepenuhnya kelak,” katanya.

Seksyen 9 dan 10 WCE mempunyai lima persimpangan iaitu Kampung Lekir, Sitiawan, Sitiawan Utara, Changkat Chermin dan Beruas.

Pada 31 Mei lalu, Seksyen 8 dari persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan sepanjang 19.1 km dibuka secara rasmi.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Jajaran Seksyen 1 akan bermula dari susur 3201 Persimpangan Banting yang mengambil jarak sehingga…
Berita Domestik
Jajaran sepanjang 35.5km ini telah beroperasi secara percuma, sejak dibuka secara rasmi pada 12 Mac…
Gaya Hidup
It brought a wave of positive change to the Manjung district and the nation as a whole.   Over 3,…