Tidak lama selepas pelancaran rasmi BMW M3 dan M4 2021, pengeluar automotif Jerman itu telah mengumumkan senarai peralatan M Performance khusus untuk kedua-dua model tersebut.
Jika dikira, hampir tiga dozen komponen dan peralatan berprestasi tinggi M Performance ditawarkan bagi menjadikan jentera M3 dan M4 anda lebih bergaya.
Seperti contoh, sistem ekzos asal M3 dan M4 boleh ditukarkan kepada sistem ekzos empat tip yang diposisikan di tengah-tengah diffuser gentian karbon, menampilkan ciri seperti kawalan injap dan bahan daripada titanium ringan.
Pembeli M3 dan M4 juga boleh memilih sistem suspensi sports M Performance yang membolehkan pemilik untuk mengubah tetapan ketinggian, serta pad brek sports yang menjanjikan jarak pemberhentian yang lebih dekat, karakteristik yang lebih baik serta kadar rintangan haba yang lebih tinggi.
Menambahkan lagi penggayaan unik BMW M3 dan M4 adalah set rim dengan rekaan yang berbeza, dan saiz bermula dari 19 sehingga 21 inci yang boleh dilayangkan dalam warna Frozen Gold, Jet Black dan Frozen Gunmetal Grey.
Antara peralatan lain termasuklah sayap belakang gentian karbon, cakera brek seramik karbon, gril buah pinggang gentian karbon, kemasan skirt sisi gentian karbon dan pelindung cermin sisi gentian karbon.