Jaguar XE SV Project 8, sendiri 'bikin', sendiri pecah rekod di Nürburgring

oleh Muhammad Md Tajudin|
Di dalam banyak-banyak kereta sedan empat pintu ada sebuah yang hadir dengan kuasa luar biasa tetapi jarang dihebahkan. Kereta yang dimaksudkan ialah XE SV Project 8 yang dibangunkan oleh Jaguar Special Vehicle Operations.

Model ini tidak banyak dikeluarkan iaitu hanya 300 unit sahaja dan bersaing dengan sedan premium berprestasi seperti Mercedes-AMG C63 S.

Kehebatan XE SV Project 8 terserlah apabila mencatatkan rekod masa terpantas untuk kereta sedan empat pintu di Nürburgring Nordschleife pada November 2017 dengan masa 7 minit 21.23 saat.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Jaguar XE SV Project 8.04

 

Sekali lagi XE SV Project 8 berjaya mencatatkan masa terpantas dan memecahkan rekod sendiri di Nürburgring Nordschleife dengan masa 7 minit 18.361 saat di litar berjarak 20.8 kilometer tersebut. Rekod itu juga tujuh saat lebih pantas berbanding sedan empat pintu lain yang pernah dicapai sebelum ini.

Model XE SV Project 8 untuk catatan masa tersebut ialah daripada varian Track Pack yang dilengkapi dua kerusi sahaja dan dipandu oleh pemandu pembangunan, Vincent Radermecker.

Tetapan lain yang dibuat bagi misi tersebut ialah suspensi dilaraskan kepada ketinggian track dengan splitter depan dan spoiler gentian karbon belakang dilaraskan bagi mendapat daya mendapan dan kestabilan maksimum.

 

Jaguar XE SV Project 8.04

 

Untuk memaksimumkan prestasi dan ketepatan stereng, kereta ini dipasangkan tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Sport Cup 2 R. Tayar ini diuji dan dipilih oleh jurutera SV kerana kebolehannya di litar dengan kompaun getah diambil terus daripada tayar perlumbaan Michelin.

Kuasa luar biasa XE SV Project 8 ialah daripada enjin Jaguar 5.0 liter Supercharge V8 dengan pacuan kesemua roda (AWD). Enjin tersebut mempunyai kuasa 600 PS dengan prestasi pecutan dari 0 hingga 100 km/j mengambil masa 3.7 saat sahaja dan kelajuan maksimum 320 km/j.

Selain enjin, komponen aerodinamik turut membantu dalam mencapai prestasi terbaik dengan bahagian bawah XE SV Project 8 ditutup terus ala kereta lumba.

 

Jaguar XE SV Project 8.04

 

Kepada yang berminat, produksi terhad XE SV Project 8 bakal habis tahun ini dan sementara itu sempat lagi untuk memesan dan membawanya pulang dari UK.

Berikut ialah tiga spesifikasi berbeza Jaguar XE SV Project 8:

  • Track pack dengan kerusi ringan untuk penumpang dan pemandu depan sahaja. Varian sama digunakan di dalam catatan rekod ini.
  • Varian empat kerusi turut ditawarkan dengan pakej aero dan prestasi seperti Track Pack
  • Varian Touring dengan spoiler lebih rendah. Hanya 15 unit sahaja dikeluarkan.

Jaguar XE SV Project 8 boleh dibawa balik ke rumah pada harga permulaan £149,995 (RM771,352). Setakat ini penulis belum lagi menjumpainya di atas jalan raya tempatan mahu pun garis masa media sosial.

Kuasa buas daripada kereta ini barulah padan dengan jenama harimau bintang yang dibawa, ibarat bersedia untuk menerkam.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Jaguar XE SV Project 8