Jaguar XE R-Dynamic 2020 rasmi dilancarkan - 300 PS/400 Nm, bermula dari RM395,831

oleh Mohamad Hanif|
Jaguar Land Rover Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi sedan sports Jaguar XE yang hadir dalam varian tunggal R-Dynamic untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Model facelift yang telah diperkenalkan di peringkat global tahun lalu itu dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Ingenium yang berupaya menghasilkan 300 PS dan 400 Nm (@ 1,500-4,500 rpm) dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan.

Sedan pacuan roda belakang ini mampu memecut sepantas 5.9 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

 


Antara perubahan yang didapati pada model facelift ini adalah penampilan lampu utama LED serba baharu dengan lampu nyalaan siang berbentuk J, bumper hadapan dan belakang baharu, lampu belakang LED dengan grafik baharu, serta tip ekzos berkembar.

Varian R-Dynamic menawarkan beberapa tambahan seperti kemasan mesh gelap, serta rim bersaiz 18 inci dengan rekaan baharu.

 

 


Ruang kabin Jaguar XE ini menampilkan beberapa ciri menarik seperti tempat duduk sports dengan jahitan kontras, paddle shifter krom satin, treadplate R-Dynamic, roda stereng baharu dari model I-Pace serta tuil gear SportShift dan suis JaguarDrive Control.

Di bahagian tengah, terdapat skrin infotainmen Touch Pro Duo bersaiz 10 inci yang menawarkan akses kepada hiburan, navigasi, serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto manakala skrin kedua 5.5 inci pula membenarkan akses kepada kawalan iklim dan dibantu dengan dua dial rotari dinamik.

 


Sebuah lagi skrin paparan dikhususkan kepada pemandu, iaitu skrin kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci.

Harga jualan untuk model facelift Jaguar XE R-Dynamic bermula dari RM395,831 (selepas pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk cukai jalan dan insurans), serta hadir dengan program Jaguar Care yang merangkumi jaminan selama lima tahun, pakej servis lima tahun percuma dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.