Jaguar Type 01 jadi taruhan era baharu, EV Super-GT dengan lebih 1,000 HP!

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Jaguar akhirnya mengesahkan nama rasmi untuk model elektrik prestasi tinggi generasi baharunya, iaitu Jaguar Type 01.

Model super-GT elektrik itu bakal menjadi simbol permulaan era baharu Jaguar sebagai pengeluar kereta mewah elektrik sepenuhnya.

Sebelum ini, model tersebut dikenali sebagai Type 00 berdasarkan konsep asal yang diperkenalkan, selain menggunakan kod dalaman X900 sepanjang proses pembangunan. 

 

2

 

Kini, menjelang pelancaran rasmi hujung tahun ini, Jaguar mengesahkan nama “Type 01” akan digunakan untuk versi produksi.

Menurut Jaguar, nama tersebut mempunyai tiga elemen penting, penggunaan nama “Type” adalah penghormatan kepada model legenda jenama itu seperti Jaguar C-Type, Jaguar D-Type, Jaguar E-Type dan Jaguar F-Type yang terkenal dengan gabungan prestasi, kuasa dan karakter pemanduan premium.

Angka “0” pula mewakili sistem trenkuasa sifar emisi sepenuhnya, manakala angka “1” melambangkan statusnya sebagai Jaguar pertama dalam era baharu syarikat itu.

 

2

 

Jaguar Type 01 dijangka menghasilkan lebih 1,000 hp dan tampil sebagai sebuah sports saloon elektrik mewah berprestasi tinggi.

Prototaip Type 01 yang masih menggunakan penyamaran bakal membuat penampilan awam sempena perlumbaan Formula E Monaco ePrix hujung minggu ini sebelum pelancaran rasmi penuh dilakukan beberapa bulan lagi. 

Type 01 dijadual memasuki pasaran pada separuh pertama tahun 2027, sekali gus menamatkan tempoh hampir 18 bulan tanpa pengeluaran model baharu Jaguar selepas pengeluaran Jaguar F-Pace dihentikan pada Disember lalu.

 

4

 

Jaguar kini sedang menjalani proses penjenamaan semula secara besar-besaran untuk meletakkan dirinya sebagai pengeluar EV mewah eksklusif dengan harga jauh lebih premium berbanding model terdahulu.

Harga Jaguar Type 01 dijangka bermula sekitar £120,000 (RM760,000), manakala versi spesifikasi tinggi dengan personalisasi penuh boleh mencecah lebih £150,000 (RM950,000). 

Dengan posisi harga tersebut, Jaguar menyasarkan kedudukan di antara jenama premium seperti BMW dan Mercedes-Benz, serta jenama ultra mewah seperti Bentley dan Aston Martin.

 

Sumber: Autocar