Jaguar Land Rover bangunkan sistem paparan head-up 3D tersendiri

oleh Mohamad Hanif|
Beralih kepada dunia teknologi, Jaguar Land Rover kini sedang giat membangunkan sebuah sistem paparan head-up tiga dimensi (3D) yang mampu memaparkan informasi masa nyata kepada pemandu dan juga penumpang.

Bagi pemandu, segala maklumat kritikal akan dipaparkan menerusi windscreen manakala penumpang hadapan pula boleh menikmati kandungan hiburan berbentuk video tiga dimensi. 

Seperti yang digambarkan, sistem paparan tiga dimensi ini akan menyalurkan maklumat seperti amaran kelajuan, sistem navigasi pemetaan, potensi halangan di jalan raya serta amaran penukaran laluan bergantung kepada kondisi trafik semasa. 

JLR berharap dengan adanya sistem ini mampu meningkatkan lagi keselamatan kenderaannya, dan membolehkan pemandu bereaksi dengan lebih natural kepada aral yang melintang. 
 


Menurut Valerian Meijering, salah seorang pengkaji di JLR berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perangkaan Destination Zero yang mensasarkan masa hadapan yang lebih selamat untuk kesemua pelanggan Jaguar Land Rover. 

Pembangunan yang dijalankan ini merupakan respons kepada kajian yang mendapati ciri paparan tiga dimensi sebenarnya lebih membantu para pemandu di dalam aspek masa reaksi dan juga analisa terhadap keadaan sekeliling. 

Malah, dengan kemajuan teknologi semasa juga membolehkan JLR mengintegrasikan perisian pengesan pergerakan kepala dan juga mata supaya pengguna mampu melihat imej 3D tanpa sebarang peranti khas. 

Add new comment

Careta Ad