Jaguar lancar model E-Type 60 Collection - enam pasang coupe & roadster sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Diiktiraf sebagai salah sebuah kereta paling cantik dalam dunia, Jaguar E-Type kini menghampiri usia 60 tahun pada 15 Mac ini, dan bersempena dengan ulang tahun yang ke-60, Jaguar telah melancarkan model klasik E-Type 60 Collection dalam unit penghasilan yang sangat terhad.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hanya dijual dalam pasangan coupe dan roadster (tidak boleh beli asing ikat tepi), Jaguar E-Type 60 Collection ini merupakan model klasik sebenar yang telah telah menjalani proses restorasi penuh oleh Jaguar Classic dan menampilkan warna yang diinspirasikan daripada warna asal model ini 60 tahun yang lalu.

 


Untuk model coupe dikhaskan dengan warna Flat Out Grey, sementara model roadster pula menerima layangan warna Drop Everything Green, dan kedua-dua warna ini tidak boleh ditempah untuk dilayangkan pada mana-mana model Jaguar yang lebih moden.

Kuasa diperoleh daripada enjin XK 3.8 liter enam silinder sebaris yang berupaya menghasilkan 265 kuasa kuda, serta menampilkan radiator aloi stail rekaan era 1961.

 


Transmisi pula adalah jenis manual lima kelajuan dengan nisbah rapat bertujuan untuk menawarkan pemanduan yang lebih sporti, mengujakan dan lebih lancar, serta menampilkan perumah aluminium tuang untuk kadar ketahanan yang lebih baik.

Tidak semua aspek mengekalkan ciri-ciri klasik kereta era 1960-an, di mana Jaguar E-Type 60 Collection ini menampilkan kipas penyejuk berkuasa elektrik untuk enjin, sistem pencucuhan elektronik dan sistem ekzos keluli tahan karat yang digilap yang dikatakan lebih tahan lasak dan menghasilkan not ekzos yang lebih mendalam.

 


Ruang kabin Jaguar E-Type 60 Collection ini menampilkan sistem infotainmen moden lengkap dengan sambungan Bluetooth dan navigasi satelit, sementara konsol tengah pula dikemaskini dengan ukiran khas berupa peta perjalanan sebenar daripada Coventry ke Geneva yang dilakukan pada tahun 1961.

Menurut Jaguar Classic, ukiran tersebut menggunakan tenaga tangan sepenuhnya, dan mengambil masa kira-kira lebih 100 jam untuk disiapkan!

 


Kelengkapan lain termasuklah roda stereng klasik dengan butang hon emas 24 karat, manakala tempat duduk model coupe dibaluti dengan kulit Smooth Black, sementara kabin roadster pula didatangkan dengan bahan Suede Green.

Setiap enam pasang Jaguar E-Type 60 Collection ini turut didatangkan dengan kain pelindung kereta, perkakas pertukangan serta beg storan jack.