Unit bateri daripada model prototaip I-Pace telah dikeluarkan dan digunakan kembali untuk mencipta sebuah unit storan tenaga sifar emisi yang dinamakan sebagai Off-Grid Battery Energy Storage System.

Jaguar akan turut menguji ketahanan pek bateri yang digunakan semula ini menerusi sukan ABB FIA Formula E World Championship 2022 di mana ia akan dijadikan sebagai sumber kuasa bagi peralatan diagnostik dan membekalkan kuasa tambahan kepada garaj pit.
Unit storan ini mempunyai kapasiti 125 kWH yang boleh digunakan untuk mengecas penuh sebuah I-Pace atau kegunaan seisi rumah selama satu minggu.

Unit storan ini juga boleh dicas kembali menerusi panel solar, dan menurut Jaguar, 95 peratus daripada komponen unit ini boleh dikitar semula apabila tiba akhir hayat penggunaan.