Jaguar F-Type facelift 2020 - lebih tajam, lebih berisi (dari RM296k di Eropah)

oleh Mohamad Hanif|
Bagi memastikan model dua pintu, dua tempat duduk Jaguar ini kekal malar segar mengikut perkembangan zaman, Jaguar telah membawakan beberapa kemaskini kepada model facelift F-Type coupe dan convertible tahun 2020.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara perubahan terbesar yang dibawakan pada model facelift ini termasuklah rekaan front-end yang kini lebih tajam dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk huruf J di kedua-dua sisi bagi menggantikan rekaan lampu yang sedikit menegak pada model terdahulu. 

Rekaan yang diinspirasikan daripada model SUV elektrik i-Pace.

 


Manakala varian tertinggi pula didatangkan dengan empat lampu kiub LED yang memiliki corak operasi yang serupa dengan lampu Matrix dari Audi. 

Gril hadapan juga kini lebih besar dan mempunyai corak lozeng yang mengimbau kembali rekaan logo original Jaguar era 40-an dan 50-an. 

Perubahan di bahagian luaran diteruskan lagi dengan set lampu belakang serba baharu. 
 


Sementara itu, tidak banyak perubahan dibawakan di bahagian kabin melainkan terdapat skrin sentuh digital bersaiz 12.3 inci yang kini didatangkan dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta menyokong kemaskini Over-The-Air. 

Jaguar menawarkan beberapa varian utama F-Type, dimulakan dengan varian asas P300 yang didatangkan dengan nadi Ingenium empat silinder sebaris 2.0 liter yang menghasilkan 296 kuasa kuda dan 400 Nm daya kilas yang memacu roda belakang menerusi transmisi Quickshift lapan nisbah kelajuan.

P300 ini mampu memecut sepantas 5.4 saat dari 0-100 km/j dengan kepantasan maksimum 248 km/j.
 


Naik satu anak tangga, varian P450 yang kini hadir dengan enjin 5.0 liter bentangan V8 dibantu unit pengecas lampau (supercharger) yang menjana 444 hp dan 580 Nm. 

Dua pilihan pacuan ditawarkan iaitu pacuan roda belakang atau pacuan semua roda, namun kedua-dua versi ini masih mampu mencatatkan bacaan sepantas 4.4 saat dan kelajuan tertinggi 283 km/j. 

Manakala varian tertinggi pula merupakan F-Type R, membawakan nadi 5.0 liter V8 supercharger namun dengan talaan setinggi 566 hp dan 700 Nm daya kilas yang memacu semua roda. 
 


Dari segi prestasi, ia mampu memecut sepantas 3.5 saat (0-100 km/j) dan memiiki kelajuan tertinggi 300 km/j. 

Model tertinggi ini turut membawakan talaan kepada casis kenderaan, seperti penggunaan penyerap hentakan adaptif, spring, bar anti-oleng, knuckle belakang serta penggunaan rim lebar bersaiz 20 inci. 

Untuk kedua-dua model V8 yang dinyatakan tadi, Jaguar telah menambah beberapa ciri seperti sistem ekzos aktif berbilang mod serta fungsi mula senyap supaya deruman enjin anda tidak berupaya mengejutkan kawasan kejiranan anda. 
 


Harga jualan Jaguar F-Type bermula dari £54,060 (RM293,248) untuk model Coupe, tambahan sebanyak £5,480 (RM29,276) untuk mereka yang mahukan sebuah Convertible.

Untuk model F-Type P450 pula memerlukan anda berbelanja £69,990 (RM379,655) manakala model premium F-Type R pula berharga £97,280 (RM527,587) untuk model Coupe dan £102,370 (RM555,297) untuk versi Convertible.