Jaguar E-PACE - SUV pintar dengan enjin 2.0 liter Ingenium 200 PS, harga dari RM403 ribu

oleh Mohamad Hanif|
Setelah pelancaran rasmi SUV kompak Jaguar F-PACE pada bulan lalu, Jaguar Land Rover Malaysia melengkapkan lagi penawaran crossover di pasaran Malaysia dengan pengenalan SUV Jaguar E-PACE.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Didatangkan dalam penawaran enjin tunggal Ingenium 2.0 liter turbo, trenkuasa ini mampu menghasilkan 200 PS dan memecut sepantas 8.2 saat dari 0-100 km/j.

Ia juga hadir dengan teknologi termaju yang sama terdapat pada keluarga enjin Ingenium yang lain seperti pengecas turbo jenis twin-scroll, sistem pemasaan injap dan cam berubah-ubah bagi meningkatkan kuasa dan tahap kecekapan kenderaan.

 


Antara ciri terbaharu yang terdapat pada Jaguar E-PACE adalah Smart Settings - teknologi pembelajaran kendiri yang mampu mengkaji tabiat pemandu dan menjangkakan keperluan mereka bagi memastikan pemanduan yang lebih menyenangkan.

Ciri Smart Settings akan diaktifkan saat pemandu mendekati kereta, di mana sistem ini akan mengesan pemandu menerusi key fob atau peranti pintar seterusnya menetapkan kedudukan tempat duduk, suhu kabin, dan sistem infotainmen.

Terdapat juga fungsi panggilan khas yang dinamakan sebagai Predictive Call List serta ciri Intelligent Phone Reminder yang mampu mengingatkan pemandu sekiranya mereka terlupa peranti pintar di dalam kenderaan.

Menurut Jaguar, fungsi Smart Settings ini mampu menyimpan sehingga lapan profil pada satu-satu masa, memudahkan penggunaan yang melibatkan perkongsian kenderaan atau pengurusan fleet kenderaan.

 


Aspek keselamatan tidak dilupakan dengan kehadiran pelbagai ciri pasif dan aktif seperti enam beg udara, cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, serta beg udara pejalan kaki bagi mengurangkan kadar kecederaan di dalam insiden pelanggaran.

Sebagai sebuah SUV kompak pertama Jaguar, model E-PACE yang dipertingkatkan ini menampilkan rupa luaran yang sporti, serta rekaan dalaman yang kaya dengan efek visual dan penggunaan bahan berkualiti tinggi.

Jaguar E-PACE ditawarkan dalam dua warna metalik menarik iaitu Yulong White dan Firenze Red, manakala harga jualan pula bermula dari RM403,216.67 tidak termasuk cukai jalan dan insurans, serta termasuk dengan pengecualian cukai jualan 50 peratus seperti yang diumumkan oleh pelan stimulus Penjana.

 


Setiap kenderaan Jaguar hadir dengan program Jaguar Care yang merangkumi jaminan selama lima tahun, servis percuma selama lima tahun serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun.