Jadual baharu F1 dipendekkan ke 8 perlumbaan di Eropah

oleh SALINA JALIL|
Jadual musim baharu Formula Satu (F1) dipendekkan bermula dengan dua perlumbaan tanpa penonton di Austria pada 5 Julai dan 12 Julai, sebelum selebihnya berlangsung di enam Grand Prix (GP) di Eropah, kata pihak penganjur.


F1 dalam kenyataannya berkata, mereka berharap untuk menganjurkan antara 15 hingga 18 perlumbaan secara keseluruhan dengan musim lengkap sepenuhnya pada Disember.

 

Musim F1 terganggu selepas pembatalan pusingan pembuka tirai di GP Australia pada Mac, hanya beberapa jam sebelum sesi latihan bebas bermula susulan penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

 

Minggu lalu, kerajaan Austria membenarkan pembuka tirai di Litar Spielberg selepas pihak penganjur F1 membentangkan perancangan lengkap dan profesional bagi menangani penularan COVID-19.

 

GP Hungary dibawa ke 19 Julai selepas saingan berehat dua minggu, sebelum disusuli perlumbaan di Britain, Sepanyol, Itali dan Belgium. Semua perlumbaan ini tampak berlangsung tanpa penonton manakala peserta harus mengikuti protokol keselamatan yang ketat.

 

Ujian kesihatan yang kerap akan dilakukan dengan jumlah anggota pasukan serta staf perlumbaan di setiap lokasi perlumbaan juga dikurangkan.

 

"Walaupun ketika ini kami menjangkakan musim akan berlangsung tanpa penonton di setiap perlumbaan, kami berharap dalam tempoh beberapa bulan akan datang, situasi akan berubah dan membenarkan kita untuk menyambut mereka kembali apabila keadaan sudah selamat," kata Ketua Pegawai Eksekutif F1, Chase Carey.

 

"Namun kita tahu dengan kembalinya F1 ini, ia akan memberi satu lonjakan besar kepada penyokong sukan ini di seluruh dunia."

 

Pada awalnya, musim 2020 dijadual membabitkan jumlah besar dengan 22 perlumbaan namun ia dijangka menjadi kempen paling pendek sejak 2009 dengan perlumbaan di Australia, Monaco, Perancis dan Belanda dibatalkan.

 

Jadual baharu F1 yang dikemaskini:

 

i.  3-5 Julai: GP Austria (Spielberg)

ii. 10-12 Julai: GP Styria (Spielberg)

iii. 17-19 Julai: GP Hungary (Budapest)

iv.  31 Julai-2 Ogos: GP British (Silverstone)

v.  7-9 Ogos: Sambutan Ulang Tahun ke-70 GP (Silverstone)

vi. 14-16 Ogos: GP Sepanyol (Barcelona)

vii. 28-30 Ogos: GP Belgium (Spa-Francorchamps)

viii. 4-6 September: GP Itali (Monza)

 

 

 

 

BH

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini merupakan penganjuran kali pertama acara bertaraf antarabangsa selepas beberapa acara…
Berita Global
Menurut laporan Jakarta Post, pegawai-pegawai kesihatan di lapangan terbang Sorong mengesan seorang…
Berita Domestik
Menurut Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acara sosial termasuk…