Italdesign Bakal Dijual? Volkswagen Pertimbang Langkah Drastik

oleh Qalif Latif|
Volkswagen Group dilaporkan merancang untuk menjual Italdesign, firma reka bentuk automotif ikonik dari Itali, dalam usaha mengurangkan kos operasi di tengah tekanan kewangan dan persaingan pasaran yang semakin sengit, terutamanya dari China.

Italdesign

Warisan Italdesign

Italdesign ditubuhkan pada tahun 1968 oleh pereka terkenal Giorgetto Giugiaro bersama Aldo Mantovani. Syarikat ini telah menghasilkan reka bentuk beberapa kereta paling berpengaruh dalam sejarah automotif termasuk Volkswagen Golf Mk1, Alfa Romeo Alfasud, Fiat Panda dan Hyundai Pony. Mereka juga pernah bekerjasama dengan Nissan untuk menghasilkan GT-R50  versi eksklusif Nissan GT-R dengan kuasa 720hp.

Pengiktirafan Global
Italdesign

Pengasasnya, Giorgetto Giugiaro, pernah diangkat sebagai Car Designer of the Century pada tahun 1999 oleh Global Automotive Elections Foundation satu penghormatan tertinggi dalam dunia reka bentuk automotif.

Diambil Alih Volkswagen

Volkswagen membeli 90.1% saham Italdesign pada tahun 2010 melalui anak syarikatnya, Lamborghini. Walaupun berada di bawah VW Group, Italdesign kekal beroperasi secara bebas dan menerima projek dari luar kumpulan, termasuk beberapa jenama dari China.

Pengumuman Mengejutkan

Menurut laporan Corriere della Sera, pengumuman dalaman mengenai rancangan penjualan ini dibuat pada 5 Mei 2025 dalam satu perjumpaan di ibu pejabat Italdesign berhampiran Turin, Itali. Seramai 1,000 pekerja hadir dalam sesi itu. Wakil kesatuan sekerja, Gianni Mannori dari Fiom Cgil, meluahkan kebimbangan terhadap masa depan syarikat yang menjadi lambang kebanggaan wilayah tersebut.

Buat masa ini, tiada kenyataan rasmi dari VW, tetapi laporan menyebut proses penilaian dan ‘due diligence’ sedang berjalan. Identiti pembeli atau nilai jualan juga belum didedahkan.

Tekanan Kewangan & Strategi VW

Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi baharu CEO VW Group, Oliver Blume, untuk menjimatkan kos dalam keadaan pasaran Eropah yang lemah serta tekanan daripada pengeluar kenderaan elektrik China. VW kini memberi tumpuan kepada pengurangan kos dan penyusunan semula keutamaan perniagaan.

Italdesign

Reka Bentuk Ikonik & Kesan Global

Sepanjang dekad 1970-an hingga 1990-an, Italdesign memainkan peranan utama dalam membentuk wajah industri automotif Eropah dan dunia. Antara model penting hasil rekaan mereka termasuk:

  • Volkswagen Golf Mk1 (1974) – membuka jalan kepada hatchback moden

  • Fiat Panda (1980) – ikon ‘utilitarian’ Itali

  • DeLorean DMC-12 (1981) – kereta “Back to the Future”

  • Alfa Romeo Alfasud (1972) – sedan pacuan roda hadapan pertama Alfa

  • Lotus Esprit (1976) – supercar British dengan gaya Itali

  • Hyundai Pony (1975) – kereta rakyat pertama Korea

Italdesign juga menyumbang kepada banyak model Asia (Kia, Daewoo, Proton) dan projek konsep eksotik termasuk Bugatti ID 90, Maya Concept, dan BMW Nazca.

Italdesign

Proton Emas Concept (2010)

Proton bekerjasama secara rasmi dengan Italdesign Giugiaro untuk memperkenalkan Proton EMAS (Eco Mobility Advanced Solution) di Geneva Motor Show 2010. Ia merupakan sebuah kereta konsep hibrid kompak dan masa depan Proton dalam segmen kenderaan mesra alam.

  • Direka sepenuhnya oleh Italdesign, EMAS menampilkan wajah dan falsafah reka bentuk baharu untuk Proton.

  • Ia merupakan simbol hasrat Proton untuk tampil di pentas global dengan identiti tersendiri.

  • Tiga varian konsep diperkenal: hatchback 5 pintu, coupe 3 pintu, dan versi crossover.

Walaupun Proton EMAS tidak sampai ke fasa produksi, reka bentuknya memberi pengaruh kepada model seperti Proton Iriz, yang kemudiannya menjadi realiti lima tahun selepas itu.

Jika penjualan ini diteruskan, ia bakal menandakan satu perubahan besar kepada landskap reka bentuk automotif global. Ramai pemerhati industri berharap agar warisan dan kepakaran Italdesign terus dihargai dan tidak tenggelam akibat keputusan perniagaan semata-mata.

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan kewangan yang diumumkan baru-baru ini, Volkswagen menyatakan beberapa faktor utama…
Berita Global
  Di Eropah, Kumpulan VW kekal sebagai peneraju pasaran EV yang dominan dengan penguasaan pasaran…
Berita Global
Projek ini masih berada pada peringkat penyelidikan dan menggunakan sebuah kenderaan konsep yang…