Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition, 300 buah terhad, maaf untuk UK sahaja

oleh Muhammad Md Tajudin|
Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition 2024
Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition 2024
Satu kelebihan Isuzu D-Max dengan pikap lain ialah enjin kecil 1.9 diesel turbo yang ekonomikal. Di pasaran tempatan pula, enjin kecil bermakna cukai jalan rendah. 

Satu perkara mengenai D-Max di pasaran tempatan ialah Isuzu ada sahaja buah fikiran untuk menyemarakkannya dengan menawarkan pelbagai edisi dan barangan.

Ini pula di United Kingdom, Isuzu menawarkan D-Max V-Cross STEEL Edition dan dihadkan kepada 300 buah sahaja.

Edisi dibuat untuk pelanggan yang mahukan sebuah pikap dengan adunan ketahanan, kelasakan dan gaya.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024
Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition 2024

 

Pikap ini dilayangkan warna Steel Grey Mica dan dilengkapi perkakasan khas yang menyerlahkan penampilannya.

Diasaskan dari V-Cross, edisi ini digerakkan enjin RZ4E 1.9 liter dengan kuasa 164 ps pada 3,600 rpm dan tork 360Nm dari 2,000 sehingga 2,500 rpm.

Kelajuan tertinggi mencecah 180 kilometer sejam (km/j) dan pecutan dari 0 sehingga 100 km/j memerlukan 12.7 saat bagi model manual dan 13 saat untuk automatik.

Dibangunkan dari varian teratas, pikap ini dilengkapi lampu besar Bi-LED, rim 18 inci, balutan kulit dan kerusi pemandu dengan larasan elektrik.

 

Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition 2024

 

Penyaman udara jenis dua zon dan dipasang skrin sentuh sembilan inci dengan sambungan Apple CarPlay™ and Android Auto™.

Dari segi keupayaan, pikap ini mempunyai beban muatan satu tan, kapasiti tunda 3.5 tan dan boleh mengharungi air sehingga 800 milimeter (mm).

Sistem 4WD boleh ditukar sambil memandu (on-the-fly) dan dilengkapi pengunci pembeza belakang. 

Kesemua D-Max di UK dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju sebagai ciri asas.

 

Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition 2024

 

Ciri-ciri khas D-Max V-Cross STEEL Edition:

  • Pendakap lingkungan roda warna Dark Grey
  • Pendakap sisi belakang warna Dark Grey
  • Rel bumbung warna Dark Grey
  • Cermin sisi lipatan elektrik
  • Logo jeriji Isuzu warna warna Dark Grey
  • Bantuan pintu kargo (tailgate assist) buatan khas
  • Penyandar kepala STEEL
  • Grafik badan STEEL
  • Pelapik ambang pintu bercahaya STEEL
  • Lampu suluhan permukaan jalan STEEL
  • Logo pintu kargo STEEL
  • Alas kaki STEEL

Berkenaan harga, Isuzu D-Max STEEL Edition automatik dijual pada 39,995 pound (RM237,933) dan 38,495 pound (RM229,009) untuk model manual.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Isuzu D-Max V-Cross STEEL Edition 2024