Isuzu D-Max Stealth 2020 - 180 unit, harga dari RM125,799.20

oleh Mohamad Hanif|
Isuzu Malaysia telah memperkenalkan trak pikap edisi terhad yang digelar sebagai D-Max Stealth dengan membawakan penggayaan yang lebih agresif serta rekaan yang mampu menarik perhatian berbanding D-Max sedia ada.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia menggunakan asas daripada varian D-Max 4x4 Premium dengan enjin 1.9 liter Ddi Blue Power menghasilkan 150 PS dan daya kilas 350 Nm, transmisi automatik serta sistem pacuan empat roda.

Isuzu D-Max Stealth direka untuk menjadi sebuah trak pikap urban premium dengan membawakan perubahan seperti layangan warna hitam bagi menggantikan warna krom seperti di bahagian gril hadapan, pelindung lampu utama, kemasan lampu kabus, kemasan bumper, rel bumbung dan juga bumper belakang.

 


Terdapat kemasan kecil berupa jalur perak yang halus melintangi bahagian hadapan.

Khusus untuk model edisi Stealth, Isuzu Malaysia menawarkan rim aloi bersaiz 18 inci, serta lencana Stealth yang boleh didapati pada rim, pintu hadapan, pintu belakang serta tailgate dengan ciri bukaan ringan.

 


Antara kelainan yang dibawakan pada Isuzu D-Max Stealth adalah kehadiran tempat pemijak sisi Power Step jenis retractable dan tersimpan rapi yang menjadikan profil sisi trak pikap ini lebih kemas.

Tempat pemijak daripada aluminium itu tadi akan terbuka dengan sendiri saat pintu dibuka, serta kehadiran lampu automatik menyinari tanah memudahkan urusan keluar dan masuk ketika waktu gelap.

 


Ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk balutan kulit dan fabrik, serta diberikan warna dua tona merah dan hitam, manakala papan pemuka pula turut menampilkan penggunaan bahan jenis soft touch yang menambahkan lagi tahap premium trak pikap ini.

Selain daripada itu, pelapik bumbung didatangkan dalam warna kelabu, tombol pendingin hawa diberikan kemasan warna krom, manakala kemasan permukaan lain disudahi dengan warna hitam berkilat, dan diakhiri dengan pelapik lantai Stealth.

Melengkapkan lagi status sebagai trak pikap urban premium adalah penawaran kamera perakam video digital depan dan belakang, dilengkapi dengan penderia impak dan mampu merakam pada sudut lebar 140 darjah.

Rakaman itu tadi boleh dimainkan pada peranti pintar menerusi sambungan WiFi menerusi aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.

 


Tidak ketinggalan, ciri penderia parkir hadapan serta kamera pandang keliling 360 darjah dengan panduan imej tiga dimensi yang memudahkan pemandu untuk mengendalikan kenderaan terutama ketika melalui kawasan yang sempit.

Ditawarkan dalam 180 unit terhad, Isuzu D-Max Stealth boleh didapati dalam dua warna iaitu Stallion Black Metallic atau Silky White Pearl dengan harga bermula dari RM125,799.20.

Promosi bulan Ogos menawarkan para pembeli terawal Isuzu D-Max Stealth dengan aksesori tambahan iaitu sport roll bar atau penutup T-Lid bernilai RM5,000 pada harga promosi RM2,000 sahaja sementara stok masih ada.