Isuzu D-Max Blade+, edisi terhad 150 unit di UK

oleh Muhammad Md Tajudin|
Isuzu Malaysia baru sahaja melancarkan D-Max 1.9L pada 18 September lalu dan kemudian Isuzu memperkenalkan D-Max generasi baharu di Thailand. Mungkin ada yang tertanya tetapi faktanya perkara sebegitu biasa di dalam dunia automotif.

Hatta negara maju pun belum tentu menerima model terkini dengan cepat, sebagai contoh Isuzu UK pada 10 Oktober lalu melancarkan D-Max Blade+. Ironinya ialah model generasi baharu dikenalkan selang dua hari selepas itu di Thailand.

D-Max Blade+ pasaran UK ini hanya dikeluarkan sebanyak 150 unit sahaja dan didatangkan dalam transmisi manual dan automatik.

D-Max Blade+ adalah varian paling premium di UK dan dilengkapi pelbagai kelengkapan berbanding varian standard.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Isuzu D-Max Blade+

 

Berikut ialah kelengkapan pada D-Max Blade+:

Luaran:

  • Kanopi Alpha Type E atau Mountain Top Roller Cover dengan Black Sports Bar
  • Skirt depan
  • Roda aloi 19” berwarna Gun Metal
  • Kamera depan
  • Bantuan bukaan pintu kargo Pro-Lift
  • Grafik khas Blade+ 
  • Lampu bawah cermin sisi Blade+ (Puddle Lamps)
  • Lampu lazer pada bampar depan

Interior:

  • Balutan kulit Blade+
  • Pengecas tanpa wayar
  • Alas kaki Blade+
  • Pelapik pintu bercahaya Blade+ 
  • Grafik paparan permulaan Blade+
  • Logo nombor siri

 

Isuzu D-Max Blade+

 

Pikap istimewa ini nampak kemas dengan skirt depan dengan kemasan merah dan bahagian tepi pula kelihatan ranggi dengan corak roda yang komplikated.

Dengan ukuran lebih besar, Isuzu tidak lupa untuk membekalkan tayar gantian yang sama saiz. 

Selain kamera depan, Blade+ turut dilengkapi kamera belakang dan sensor depan dan belakang supaya mudah untuk mengundur ke belakang atau bergerak ke depan. 

Bantuan bukaan pintu kargo Pro-Lift pula begitu mudah dan ringan yang memerlukan satu jari sahaja untuk menutup pintu kargo.

 

Isuzu D-Max Blade+

 

Blade+ ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Cosmic Black Mica, Obsidian Grey Mica dan Spinel Red Mica.

Di UK, pikap ini dibekalkan dengan lima tahun jaminan atau jarak pemanduan 125,000 batu (201,168 km) dan lima tahun bantuan tepi jalan termasuk seluruh Eropah.

Isuzu D-Max Blade+ ditawarkan pada harga GBP£29,999 (RM163,079) untuk model manual dan GBP£30,999 (RM168,515) bagi transmisi automatik.

Penulis: Muhammad Md Tajudin