Isuzu D-Max 1.9L DDI BluePower - Trak pikap EEV pertama di Malaysia, bermula dari RM80k!

oleh Mohamad Hanif|
Pasaran trak pikap tempatan akhirnya kini menerima kemasukan baharu Isuzu D-Max yang hadir dengan penawaran enjin diesel BluePower yang baharu di samping enjin asal 3.0 liter diesel.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Enjin RZ4E berkapasiti 1.9L DDi BluePower itu mampu menghasilkan 10 peratus lebih kuasa kuda dan 9.4 peratus lebih daya kilas berbanding enjin sedia ada 2.5L 4JK1. 

Atas kertas, enjin bersesaran 1,989cc ini berupaya menghasilkan 150 kuasa kuda dan daya kilas 350 Nm, menjanjikan lebih penjimatan bahan api (19% lebih jimat) dengan bacaan penggunaan bahan api sekitar 8L/100 km. 

Ini menjadikan Isuzu D-Max 1.9L DDi BluePower trak pikap pertama di Malaysia yang menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) selari dengan Peraturan 101 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh JPJ Malaysia. 

 


Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pihak Isuzu mengambil masa untuk menguji enjin bersesaran bawah 2,000 cc itu supaya ia lebih sesuai untuk kegunaan Malaysia yang rata-ratanya masih lagi menggunakan bahan api Euro 2M. 

Selain itu, terdapat juga perancangan supaya enjin tersebut boleh menerima penggunaan bahan api biodiesel B20, dengan pemasangan pre-fuel filter ke atas penapis bahan api sedia ada.

Sistem transmisi pula ditawarkan dalam dua kotak gear enam kelajuan manual dan automatik, di mana pecutan 0-100 km/j kini hanya mengambil masa kira-kira 13.7 saat (13.9 saat untuk kotak gear manual).
 


Dari segi luaran, Isuzu D-Max tampil dengan beberapa peningkatan minima, seperti lampu nyalaan siang LED yang lebih panjang, rekaan bumper yang lebih segar dengan kemasan krom melintangi bahagian muka hadapan trak pikap itu. 

Pintu ruang barangan juga menggunakan bahan yang lebih ringan, membolehkan pengguna mengangkat pintu tersebut dengan hanya satu jari sahaja dan ciri tersebut ditawarkan sebagai satu pilihan kepada para pembeli.

Manakala ruang dalaman pula tidak menampilkan sebarang perubahan yang ketara, melainkan penggunaan bahan sentuh lembut, sistem infotainmen skrin sentuh bersaiz 8 inci, kluster meter TFT baharu, slot pengecasan USB pada ruang tempat duduk kedua serta tambahan ciri kawalan pemanduan (cruise control). 

Tempat duduk pula telah dibalut dengan gandingan material fabrik kulit, juga dengan rekaan serba baharu yang lebih baik. 
 


Untuk pemanduan pula, dua ciri tambahan yang diperkenalkan pada Isuzu D-Max 2019 seperti Vehicle Launch Assist Control untuk kegunaan pandu mula di lereng bukit, serta Bantuan Menurun Cerun (HDC) sebagai tambahan kepada ciri sedia ada.

Ciri keselamatan standard yang dilengkapkan pada trak pikap ini terdiri daripada beg udara SRS, cagak ISOFIX dengan Top Tether, brek ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Mula Mendaki serta Kawalan Cengkaman (TCS). 

Untuk pasaran Malaysia, Isuzu D-Max ditawarkan dalam 11 varian dan enam warna pilihan termasuklah Magnum White, Silky Pearl White, Titan Silver, Stallion Black, Red Spinel dan Sapphire Blue. 
 


Harga jualan (pendaftaran individu) seperti yang tertera di bawah:

Isuzu D-Max 1.9L 4x2 MT Low-Ride      - RM  80,149.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x4 MT Single Cabin - RM  85,799.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x2 MT Hi-Ride         - RM  86,699.20
Isuzu D-Max 3.0L 4x4 MT Single Cabin - RM  92,838.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x4 MT Type B          - RM  96,699.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x2 AT Hi-Ride          - RM100,049.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x4 AT Type B           - RM104,599.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x4 MT-P                   - RM105,999.20
Isuzu D-Max 3.0L 4x4 MT Type B          - RM106,738.20
Isuzu D-Max 1.9L 4x4 AT-P                    - RM115,799.20
Isuzu D-Max 3.0L 4x4 AT-P                    - RM120,838.20

 

Setiap pembelian trak pikap Isuzu D-Max didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 km yang mana terdahulu. 

 


Untuk pembeli yang berjaya mendaftarkan trak pikap mereka sehingga 31 Oktober, akan menerima naik taraf pakej jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta servis penyelenggaraan percuma sehingga lapan tahun, atau 80,000 km bergantung kepada syarat yang telah ditetapkan.