Isuzu D-Max 1.9 liter capai 1,000 kilometer dengan satu tangki penuh!

oleh Mohamad Hanif|
Isuzu Malaysia baru-baru ini berjaya menamatkan cabaran Dura Miles Challenge yang dibuktikan oleh Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power tanpa melakukan sebarang pengisian bahan api.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Isuzu D-Max 1.9 liter kabin tunggal itu telah dimuatkan beban sehingga 1 tan sebelum melalui cabaran laluan di kawasan tanah tinggi Banjaran Titiwangsa sepanjang 1,000 kilometer. 

 


Lebih menarik, apabila trak pikap tersebut berjaya menamatkan perjalanan di laluan tersebut dengan kapasiti tangki bahan api berbaki lagi dua takuk!

Sebelum memulakan perjalanan dari kilang Isuzu-Hicom di Pekan, Pahang, pihak Isuzu telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di PUSPAKOM bagi mengesahkan ia adalah unit standard, serta pengesahan beban yang dibawa melebihi 1,000 kilogram. 
 


Untuk menjadikan perjalanan yang lebih mencabar, pihak Isuzu Malaysia telah menutup sepenuhnya tangki minyak sebelum melepaskan Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power melalui Lebuhraya Timur-Barat menghala ke Jeli, Kelantan dan mendaki ketinggian 1,052 meter menghala ke Grik, Perak. 

Cabaran diteruskan dengan melalui laluan berketinggian 1,112 meter ke Tanah Rata, Cameron Highlands sebelum mendaki Bukit Fraser pada ketinggian 1,222 meter melalui Raub. 

Dari situ, trak pikap tersebut dihalakan perjalanannya ke Genting Highlands mendaki laluan berketinggian 1,604 meter sebelum menamatkan perjalanan di Pusat Servis Isuzu Shah Alam dengan rekod perjalanan keseluruhan berjumlah 1,145 kilometer!
 


Secara puratanya, kadar penggunaan bahan api Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power ini berjaya merekodkan angka 7.2 liter/100 kilometer dengan berbaki lagi dua takuk pada tangki berkapasiti 76 liter itu. 

Menurut Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki berkata, "kemampuan penjimatan bahan api Isuzu D-Max terus berada di tahap yang membanggakan walaupun ia sebuah trak pikap dengan kapasiti enjin paling kecil dalam pasaran. 

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura pula menambah, "dengan Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power, ia terbukti mampu mengharungi kesemua cabaran yang diberikan dengan cemerlang tanpa sebarang masalah, dan ia sesuatu yang menakjubkan!"
 


Enjin diesel 1.9 liter Blue Power yang didatangkan pada Isuzu D-Max mampu menjana 150 PS dan 350 Nm daya kilas, terima kasih kepada inovasi teknologi pada rekaan kebuk pembakaran dan manifold kemasukan, sistem suntikan minyak baharu serta pengecas turbo Variable Geometry menjadikannya lebih responsif dan lebih berkuasa berbanding enjin 2.5 liter yang digantikannya. 

Selain daripada itu, disebabkan sesaran yang kecil, Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power menjadi antara trak pikap mampu milik di dalam pasaran dengan kos selenggara dan cukai jalan yang lebih rendah.