Isu Rossi dan Hafizh - kenapa kecam Petronas? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Pengumuman Valentino Rossi, lagenda MotoGP yang akan berlumba di bawah payung pasukan Petronas Yamaha SRT nampaknya mula membangkit suara-suara tidak puas hati.

Kenapa Rossi sedangkan anak watan kita, Hafizh Syahrin Abdullah masih terkial-kial mencari tapak yang kukuh.
Modenas

Menurut laporan Harian Metro, prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berharap agar Hafizh bangkit dan menunjukan prestasi serta keputusan yang lebih baik sekarang agar kekal relevan di dalam perlumbaan motosikal dunia kerana itu adalah komponen penting yang meyakinkan penaja.

Rossi ialah seorang pelumba MotoGP yang paling dikenali ramai, walaupun untuk mereka yang tidak meminati motosikal. Namanya cukup kuat sehinggakan kemasukan Rossi ke dalam pasukan Petronas Yamaha SRT itu ditaja sepenuhnya oleh Yamaha.

Mahu atau tidak, penaja adalah antara perkara terpenting di dalam mana-mana pasukan perlumbaan. Tidak kira samada ibubapa yang membayar, atau syarikat sendiri, atau kerajaan pun, tajaan perlu wujud kerana perlumbaan memakan belanja yang banyak.

 

 

Apa lagi bila kita bercerita tentang perlumbaan seperti MotoGP yang memakan kos ratusan juta ringgit setahun.

Cuma ada satu sahaja perkara di dalam minda setiap penaja - apakah pulangan yang akan diterima.

Jika kita tidak mengharapkan pulangan, maka itu dikira pemberian, hadiah atau bentuk paling popular untuk rakyat Malaysia - subsidi.

Rakyat Malaysia dipimpin untuk mengharapkan subsidi. Malah, ajaran itu cukup berkesan sehinggakan ada antara rakyat Malaysia berpendapat subsidi itu ialah satu perkara yang wajib.

Subsidi ini ada baiknya. Contoh terbaik, subsidi pendidikan - kerana pelajar itu akan menyumbang kepada ekonomi negara bila ia mula bekerja nanti.

Namun begitu, dalam dunia perniagaan, subsidi perlu dikawal. Jika kita, perniagaan kita hanya akan menjadi jaguh kampung kerana bila kita hendak menjual produk kita secara global, tidak ada lagi subsidi atau "perlindungan" yang akan diberikan oleh negara-negara luar.

Sama juga dengan isu Petronas Yamaha SRT ini. 

 

 

 

Petronas ialah sebuah syarikat Fortune 500 yang dikenali di seluruh dunia. Petronas menceburi dunia MotoGP, Formula 1 dan lain-lain perlumbaan bertaraf antarabangsa dengan satu tujuan besar - memperkenalkan jenama Petronas ke semua negara-negara sasaran pasarannya.

Perlumbaan permotoran adalah cara pengiklanan paling bagus untuk industri pelincir automotif. Tanya sahaja mereka yang membayar kos tambahan semata-mata untuk membeli Honda RS150 dengan warna Repsol - pastinya mereka akan berkata ia adalah dari bahana MotoGP.

Kita sebagai rakyat Malaysia sepatutnya sudah boleh berfikir dengan matang apa yang mahu dilakukan oleh Petronas. Untuk memanggil syarikat itu sebuah syarikat yang tidak prihatin kepada pelumba tempatan adalah satu tuduhan yang pada pendapat saya, terlalu dangkal.

Petronas bukan sahaja menaja sukan permotoran popualr seperti CubPrix, tetapi mereka pernah menggunakan modal sendiri untuk membawa nama Proton ke British Touring Car Championship. 

 

 

Ini tidak termasuk berbilion yang dilaburkan untuk pembangunan sahsiah negara, sistem pendidikan nasional, penajaan pelajar-pelajar kita dan pelbagai lagi.

Sekiranya Petronas naik di peringkat global, hasilnya akan dikembalikan ke Malaysia juga.

Jika kita boleh menyanjung Proton dengan produk China yang kempimpinan atasnya  rata-rata orang asing, kenapa kita mahu membenci syarikat seperti Petronas yang memang diuruskan oleh anak-anak tempatan sendiri?

Kenapa ada "double standard" ini? Kerana hasil dari Petronas tidak boleh dilihat? Kerana Petronas tidak ada gula-gula? 

Dan ramai yang terlupa satu perkara ini. Kerana Petronas, kita sudah ada anak watan dan kemungkinan besar Muslim pertama yang menjadi prinsipal pasukan MotoGP.  

Malaysia mungkin sudah lama merdeka, tetapi ada sebahagian kecil dari kita yang masih belum merdeka mindanya.

Wallahuallam.

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
  Kontrak Rossi bakal tamat pada penghujung tahun ini dan tempatnya di Yamaha seperti telah…
Sukan Bermotor
Mungkin itu perumpamaan yang sesuai digunakan bagi menggambarkan persamaan antara dua beradik ini…
Sukan Bermotor
Sesi pengenalan jentera perlumbaan baharu Movistar Yamaha, Yamaha YZF-M1 2018 tersebut berlangsung…