
Menurut kenyataan rasmi syarikat, semua proses pengambilan tanah dibuat secara sah mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tiada sebarang unsur kekerasan mahupun kehadiran pihak tidak sah pada waktu malam seperti yang ditularkan.
Pampasan Telah Dibayar Sejak 2023
WCE memaklumkan pampasan sebanyak RM9.8 juta telah diluluskan dan mula dibayar sejak 30 September 2023 kepada 33 pemilik tanah. Daripada jumlah tersebut, 75% iaitu RM7.4 juta sudahpun disalurkan termasuk kepada 14 pemilik secara terus dan 19 pemilik melalui peguam masing-masing.
Hak Milik Sah Milik Kerajaan
Berdasarkan peruntukan undang-undang, apabila 75% pampasan dibayar dan Borang K dikeluarkan, pemilikan tanah berpindah sepenuhnya kepada kerajaan. Maka, tiada lagi hak undang-undang untuk mana-mana individu kekal menduduki tapak terbabit.
Bantahan Tidak Menghalang Pembinaan
WCE menjelaskan beberapa pemilik tanah ada mengemukakan Borang N untuk mencabar jumlah pampasan di mahkamah satu tindakan yang dibenarkan namun proses ini tidak menggugat hak kerajaan untuk mengambil milik tanah dan meneruskan pembinaan lebuh raya. Malah dalam kes lain, pemilik yang sama-sama membantah turut mengosongkan tanah selepas menerima pampasan.
“Dakwaan bahawa mereka perlu tunggu keputusan mahkamah sebelum keluar dari tanah adalah tidak berasas,” tegas kenyataan itu.
Kelewatan Jejaskan Kepentingan Umum
Menurut WCE, keengganan segelintir pemilik tanah mengosongkan kawasan walaupun pampasan telah diterima lebih 20 bulan lalu, telah menyebabkan kelewatan serius kepada projek lebuh raya yang sepatutnya menghubungkan laluan strategik seperti Lebuhraya Persekutuan, KESAS, NKVE dan GRAND SEPADU sekali gus memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya dan komuniti setempat.
Dakwaan Kekerasan Tidak Berasas
WCE turut menafikan dakwaan wujud unsur kekerasan atau kehadiran pihak tidak sah di tapak pada waktu malam. Semua kerja hanya dijalankan oleh kontraktor berdaftar dan sah, dari 8 pagi hingga 6 petang sahaja.
WCE Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Jika Perlu
Pihak WCE menggesa semua pihak menghormati proses undang-undang dan tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengelirukan orang ramai. Syarikat itu juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi reputasi mereka jika perlu.
Projek Lebuhraya Pantai Barat ini merupakan antara jaringan utama lebuh raya negara yang bakal mengurangkan kesesakan dan membuka peluang ekonomi baharu di kawasan terlibat.