Isu lori kebal - 28 pegawai JPJ terlibat digantung tugas

oleh Mohamad Hanif|
Semua kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan, digantung kerja sehingga kes selesai.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jurucakap JPJ negeri berkata 28 anggota JPJ terbabit menerima arahan penggantungan kerja dari Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya, dengan masing-masing masih menerima separuh gaji setiap bulan.

“Mana-mana yang dituduh di mahkamah, mereka ini ditahan kerja sehingga kes selesai dengan pembayaran separuh gaji.

“Bagaimanapun, setakat ini operasi JPJ Pulau Pinang masih berjalan lancar dan tidak berdepan sebarang masalah. Kita masih mampu bertahan dengan kakitangan sedia ada,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Sebelum ini, 28 anggota JPJ negeri termasuk dua bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth kerana menerima suapan daripada sebuah syarikat pengangkutan.

Mereka didakwa berbuat demikian bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di Pulau Pinang.

Pendakwaan itu susulan penahanan besar-besaran 69 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari lalu.

Sumber: Berita Harian