Isu kereta terbang - Menteri tak perlu kalut sangat

oleh HEZERI SAMSURI|
Semalam saya terbaca laporan dari akhbar-akhbar berkaitan kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof bahawa kereta terbang ini akan digunakan untuk industri pengangkutan dan bukan dijual kepada orang awam.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Melalui VLOG saya sebelum ini, kereta terbang bukanlah satu perkara baharu dan kajian mengenainya sudah lama dilakukan.

Ia masih lagi dalam kajian dan tidak boleh dijual atas sebab-sebab logik berikut:

  • Tiada prasarana untuk kenderaan terbang
  • Homologasi keselamatan tidak wujud untuk kenderaan terbang
  • Teknologi bateri masih tidak membolehkan ia terbang tinggi dan lama

 

Ada banyak lagi sebab-sebabnya tetapi ia tidak menghentikan kajian terhadap kereta terbang kerana suatu hari nanti, ia memang mampu dicapai. 

Menurut laporan Berita Harian pula, Redzuan berkata pihaknya telah dihubungi syarikat gergasi dunia bertanyakan mahu melihat pelan asas (blueprint) dan ia adalah satu tarikan pelaburan (mungkin seperti pelaburan Timur Tengah yang diceritakan beliau dahulu).

 

 

"Formula 1 contohnya, orang tak beli tetapi naik sahaja," ujarnya, memberikan contoh yang "relevan" pada pandangan beliau. Mungkin beliau tidak tahu yang jentera MotoGP, jentera WRC dan pelbagai lagi kenderaan perlumbaan memang dibuat khusus untuk berlumba, bukan untuk dijual.

Redzuan seterusnya mendedahkan bahawa pihak Grab juga ada menyuarakan mahu menggunakan kereta terbang untuk perkhidmatan mereka.

Di dalam dunia ini ada banyak teknologi yang masih dalam kajian dan tidak perlu kita terlalu "bangga"  atau berharap dengan respon yang diterima.

Sekiranya Grab benar-benar berminat, pemegang saham terbesarnya, kerajaan Singapura pasti mahu menggunakan teknologi kereta terbang yang juga ada dalam kajian universiti-universiti mereka.

Uber pula sudah melihat kepada teknologi ini dari hari pertama ia ditubuhkan. 

Malah sekiranya teknologi itu memberikan keyakinan tinggi, saya percaya Grab atau Uber sendiri akan melabur di dalam projek kajian kereta terbang.

 

 

Uber sebenarnya sudah melabur berbillion US Dollar dalam projek kajian kenderaan autonomi kerana syarikat itu percaya kos perniagaan mereka akan menurun dengan banyaknya jika kereta Uber dipandu oleh komputer, bukan manusia.

Namun begitu, perkembangan kajian itu masih lagi tidak ke mana kerana tidak ada banyak pihak kerajaan negeri di US yang mahu membuka jalanraya awam untuk tujuan kajian kenderaan autonomi.

"Risiko terlalu tinggi," ujar seorang pemerhati teknologi yang Careta temuramah.

 

kereta otonomi

 

"Bayangkan jika Cyberjaya dijadikan kawasan ujian kenderaan berautonomi. Teknologi itu masih dalam pembangunan dan ia jauh dari sempurna.

Sekiranya kenderaan itu melanggar sekumpulan pelajar sekolah yang sedang menunggu bas mereka, siapa yang perlu dipertanggungjawabkan kerana membenarkan bahan kajian tidak terbukti ke kawasan awam?" soal beliau sambil cuba menerangkan risiko-risiko kajian.

"Ia sama dengan kereta terbang. Pihak Menteri berkata seperti teknologi itu sudah wujud dan dalam tahun ini kita sudah boleh melihat ia terbang di sana sini."

 

 

"Secara realiti, jika kita tidak ada teknologi UFO atau Wakanda, kereta terbang buat masa sekarang ini hanya menggunakan teknologi drone atau enjin propellor dengan sayap panjang - kedua-duanya jauh dari pengangkutan yang praktikal dan tidak komersil lagi," tambahnya,

"Menteri patut jangan terburu-buru mengumumkan sesuatu yang berbelas atau berpuluh tahun lagi dari realiti." 

"Negara bernasib baik kerana beliau tidak diberi penerangan tentang teknologi robotik seperti android,"  kata pakar tersebut.

"Jika tidak, saya yakin Yb Menteri ini akan mengumumkan kesemua pembantu rumah dari Indonesia dan Filipina akan diharamkan dari bekerja di Malaysia kerana negara akan menghasilkan robot android untuk menggantikan pembantu rumah asing," ujarnya sebelum bersurai.

 

 

Terus terang saya katakan, bukan semua menteri kita yang tidak arif dengan port folio jawatan mereka. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke contohnya sentiasa memberikan kenyataan yang bernas dan disokong oleh fakta-fakta kajian.

Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Daryl Liking dan juga bekas Menterinya dahulu, Datuk Sri Mustapa Mohamed juga antara yang disegani kerana mampu memahami keperluan industri dan sentiasa bersabar dengan kritikan.

YB Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga bukan calang-calang orang. Beliau ialah pemegang sarjana dalam MPhil (Masters in Philosophy) in Advanced Chemical Engineering dari Universiti Cambridge. 

Beliau juga adalah penerima Biasiswa Cambridge Gates untuk kajian pasca siswazahnya. 

Mungkin kerana itu kenyataan-kenyataan dari YB Yeo ini sentiasa bernas dan mudah difahami oleh bukan sahaja rakyat, tetapi industri sendiri.

 

 

Saya percaya Datuk Seri Redzuan Md Yusof yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Leeds University, United Kingdom ini lebih dari arif akan teknologi-teknologi di dunia ini tetapi cara penyampaian perlu difikirkan semula.

Mungkins ebagai seorang jurutera, beliau terlalu "straight forward" dan mengharapkan agar orang lain akan faham.

Saya acapkali berjumpa dengan jurutera-jurutera automotif dan antara tugasan saya ialah untuk mengolah kembali apa yang diterangkan oleh mereka kerana kebanyakan pembaca bukanlah jurutera.

Fakta-fakta perlu diterangkan dengan gaya lebih ringkas dan lebih mudah untuk orang awam memahaminya. 

Diharapkan kita boleh berhenti dari memberikan fokus keterlaluan kepada projek kereta terbang yang masih dalam kajian universiti-universiti tempatan serta syarikat-syarikat kejuruteraan.

 

 

Fokus yang lebih utama ialah penghasilan syarikat kereta nasional ketiga, pengurangan penggunaan bahan api dan masalah alam sekitar yang semakin tercemar.

Jika misi pengangkutan awam masih menjadi alasan beliau, apa kata Tuan Menteri luangkan banyak lagi masa memikirkan penyelesaian "last mile" atau pengangkutan awam terakhir dari rumah ke stesen bas/keretapi yang menjadi halangan terakhir negara ini.

Beliau juga boleh cuba mencari penyelesaian bagaimana kita boleh meminta Geely dari terus mengimport kenderaan dari China 100 peratus kerana ia merugikan industri automotif negara kerana syarikat-syarikat komponen kita tidak mendapat sebarang faedah dari cara tersebut.

Jika pembekal komponen tempatan dikatakan tidak berkualiti, adakah kualiti Geely itu lebih tinggi dari Honda, Perodua, Toyota, Mazda< Mercedes-Benz, BMW dan sebagainya yang menggunakan pembekal komponen tempatan? 

Ada banyak lagi masalah yang lebih relevan dan lebih perlu diselesaikan sekarang.

Tuan Menteri boleh berhentilah menonton rancangan Captain Future itu dahulu. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Di bawah ialah apa yang dikatakan oleh Kamarul. 1. Beliau menjemput siasatan audit dilakukan…
Berita Domestik
Laporan dari PAC memaklumkan bahawa syarikat tersebut ialah firma swasta yang dikaitkan dengan…
Hezeri Samsuri
Redzuan menjawab, "Panggillah apa pun yang anda suka, dron, kereta terbang, kenderaan udara tetapi…